Tag harga lebih RM202 juta, Liverpool dijangka hilang 2 bintang utama ke Arab Saudi


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Fabinho dan Henderson dijangka akan berhijrah ke Arab Saudi pada jendela perpindahan musim ini. — Agensi

SELEPAS menandatangani pemain-pemain berstatus bintang, Al Ittihad kini berminat untuk membawa bintang Liverpool FC, Fabinho ke bumi Arab Saudi.

Skuad kendalian Nuno Espírito Santo itu dijangka akan melakukan bidaan sebanyak lebih RM202 juta untuk membawa pemain kelahiran Brazil tersebut ke Al Ittihad.

Namun, Liverpool dijangka tidak akan melepaskan Fabinho dengan mudah ke Al-Ittihad sekiranya tidak berjaya menjumpai pengganti pemain tengah itu.

Jika Liverpool berjaya mendapatkan pemain muda Southampton's, Romeo Lavia, mungkin Jurgen Kloop akan memberikan kebenaran kepada Fabinho untuk berhijrah ke Arab Saudi.

Fabinho masih mempunyai baki kontrak bersama The Reds sehingga 2026.

Fabinho kini diintai oleh Al Ittihad. Agensi

Liverpool kini dalam proses untuk merombak posisi tengah pasukan selepas berjaya membawa masuk dua pemain baharu iaitu Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai menjelang musim baharu ini.

James Milner, Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain sudahpun meninggalkan Liverpool dengan Fabio Carvalho turut menyertai RB Leipzig secara pinjaman.

Menurut laporan The Athletic, kapten Liverpool, Jordan Henderson sedang mengintai peluang untuk bergandingan dengan bekas rakan sepasukan, Steven Gerrard di Al Ettifaq.

Fabinho merupakan pemain utama Jurgen Klopp musim lalu selepas melakukan 49 penampilan dalam semua kejohanan.

Namun, kini timbul persoalan adakah Fabinho akan menyertai bekas bintang Chelsea, N'Golo Kante dan bekas Real Madrid, Karim Benzema di Al Ittihad. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram