SELEPAS lebih dua tahun menyumbang bakti di Kelantan FC, penolong jurulatih dan juruanalisis video Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Pantai Timur itu pada Mei lalu.
Pol Corpas atau nama Islamnya, Abu Bakar memaklumkan perkara tersebut kepada seluruh warga dan penyokong Kelantan FC melalui sebuah hantaran yang menyentuh perasaan di laman Instragram miliknya.
Sebelum ini, jurulatih kelahiran Sepanyol itu menafikan bakal menyertai Lion City Sailors FC selepas pelbagai spekulasi yang bermain di media sosial.
Namun selepas beberapa bulan, spekulasi ke Lion City Sailors semakin hampir menjadi kenyataan.
Bercakap kepada Majoriti, Pol memberi bayangan khabar angin mengatakan dia mungkin berhijrah ke Singapura meskipun sebelum ini menafikan perpindahan itu.
"Saya mendapat tawaran rasmi daripada Lion City Sailors FC seminggu yang lalu, kini dalam perbincangan fasa akhir.
"Tetapi kerana saya mempunyai kes FIFA, saya tidak menandatangani apa-apa lagi kontrak bersama Lion City Sailors.
"Saya tertarik dengan projek dan cita-cita kelab yang sentiasa mahu menjadi pasukan mentaliti juara," katanya pada Majoriti.
Nurshamil pernah hampir menyertai Sabah FC.
Disebalik pengesahan Pol ke Lion City Sailors, dia turut mendedahkan Nurshamil Abdul Ghani pernah hampir menyertai Sabah FC semasa Kelantan di bawah kendalian Choi Moon-sik.
"Shamil merupakan seorang pemain yang baik tetapi kurang diberikan perhatian kerana pada awal musim ini, bekas ketua jurulatih, Choi Moon-sik, tidak mahu menggunakan khidmatnya.
"Jadi, timbul satu pilihan untuk meminjamkannya ke Sabah FC, tetapi pemilik tidak mahu meminjamkannya ke sana.
"Akhirnya dia terpaksa memanaskan bangku simpanan. Pada pandangan peribadi, saya menghormati Nurshamil kerana dia merupakan seorang pemain profesional dan mendapat gelaran sebagai penjaring terbanyak dua kali berturut-turut bukanlah satu kebetulan," ujarnya.
Pusat latihan Lion City Sailors. — Agensi
Pol turut memuji Lion City Sailors antara pasukan yang terbaik di Singapura dengan fasiliti bertaraf dunia.
"Lion City Sailors adalah kelab terbaik di Singapura setakat ini, mereka mempunyai fasiliti yang menakjubkan.
"Staf dan pengarah teknikal mereka sangat baik dalam menjaga kebajikan pemain dan pekerja di kelab itu.
"Apabila anda berada jauh dari rumah, satu-satunya perkara yang anda cari ialah persekitaran kerja yang selamat dan sihat," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram