Nafuzi anggap Ifedayo bijak, Moses 'hidupkan' Sang Kenari


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Reaksi barisan pemain KDA FC merai kemenangan bergaya menentang Kelantan United FC pada Jumaat. — Facebook/MFL

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd Nafuzi Mohd Zain berpuas hati dengan prestasi dua pemain import baharu, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi dan Moses Atede Jona Atuluku, pada penampilan pertama mereka.

Pengendali Sang Kenari itu berkata, Ifedayo telah membuktikan kemampuannya sebagai penyerang yang bijak untuk mencari peluang dan sentiasa berada pada tempat dan masa yang tepat untuk menjaringkan gol.

"Saya lihat prestasi kedua-dua pemain ini lagi baik dari segi kecergasan, sentuhan, pergerakan dan membuat keputusan. Ifedayo menjaringkan dua gol pada perlawanan berdepan Kelantan United FC.

"Moses juga bermain dengan baik di bahagian tengah, yang menghidupkan bahagian serangan dan bahagian tengah dan saya yakin mereka akan semakin baik pada perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan Liga Super yang menyaksikan KDA FC menewaskan Kelantan United FC 3-1 di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.

Pada perlawanan yang dihadiri kira-kira 5,000 penonton itu, Ifedayo berjaya meledak dua gol pada minit ke-54 dan ke-74, sementara gol ketiga KDA FC dijaringkan pemain tengah Amirbek Juraboev pada minit ke-85.

Nafuzi mengucapkan tahniah kepada semua pemain KDA FC yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan bermain, serta mahu pasukannya memberi fokus pada perlawanan seterusnya bertemu Kuching FC 29 Julai depan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan United FC, Ailton Dos Santos Silva berkata, walaupun tewas,dia berpuas hati dengan peningkatan corak permainan pasukannya hingga berjaya mencipta banyak peluang berbanding perlawanan sebelum ini.

"Kami akan membuat persediaan rapi menentang PDRM nanti dan kami perlukan tiga mata pada perlawanan itu, dan harap dapat lebih banyak peluang untuk menang dengan kemasukan beberapa pemain baharu bagi menguatkan pasukan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram