NAMA Johor Darul Takzim (JDT) tidak asing dalam dunia bola sepak tanah air apabila sering dikaitkan dengan kemenangan demi kemenangan antaranya juara Piala Malaysia sekali gus mencipta kejayaan 'quadreble' selepas memenangi saingan Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super musim 2022.
Tidak dinafikan bahawa JDT memiliki barisan pemain yang boleh dikatakan cukup sempurna dari pelbagai aspek antaranya jentera serangan, pemain tengah dan pertahanan skuad tersebut.
Bukan sahaja memiliki pemain tempatan malah skuad Harimau Selatan juga dibarisi oleh pemain naturalisasi, import dan warisan yang juga membantu menjulang nama pasukan tersebut.
Sekitar aksi antara Harimau Selatan menentang Negeri Sembilan FC. — Facebook/MFL
Kecemerlangan yang dicapai oleh pasukan kendalian Esteban Solari itu bukan sahaja dibantu oleh pemain naturalisasi mahupun warisan malah taktikal dan sesi latihan yang cukup juga disediakan turut menjadi faktor kepada kejayaan skuad tersebut.
Bagi pasukan JDT, Corbin Ong, Matthew Davies, Natxo Insa dan Hong Wan merupakan pemain warisan. Manakala, Mohamadou Sumareh dan Endrick dos Santos, Liridon Krasniqi dan De Paula sebagai pemain naturalisasi Harimau Selatan.
Dalam saingan Liga Super 2023, JDT gah mengungguli carta pertama dengan memegang rekod tanpa kalah selepas 16 perlawanan berlangsung.
Aksi menarik ketika perlawanan antara Selangor menentang Sri Pahang. — Facebook/MFL
Bagaimanapun, di tangga kedua terus kekal dihuni oleh antara pencabar utama liga, Selangor FC yang sentiasa memberi tekanan kepada pihak lawan menerusi penyerang berbisa, Faisal Halim.
Selangor yang mencatatkan 11 kemenangan, satu kali seri dan empat kekalahan berjaya mengutip 34 sepanjang 16 perlawanan liga berlangsung yang dilihat masih jauh untuk mengejar pendahulu carta.
Walaupun berada dalam kedudukan yang selesa carta Liga Super 2023 namun pasukan Selangor FC sepertinya masih belum berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Walaupun turut memiliki pemain naturalisasi dan warisan, namun kelebihan itu sukar dilihat apabila skuad Gergasi Merah terus dilanda kekalahan yang tidak wajar daripada pihak lawan.
Ini kerana, dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang, anak-anak buah Tan Cheng Hoe terpaksa berputih mata selepas akur dengan keputusan 0-1 apabila ditewaskan oleh Sri Pahang FC.
Begitu juga ketika tewas kepada pasukan PDRM FC 0-1 di laman sendiri yang menyaksikan kekalahan itu tidak sepatutnya berlaku kepada Selangor FC sebagai antara pasukan terkuat di Liga M.
Barisan pemain Kedah cuba mengawal permainan dalam aksi bertemu PDRM FC. — Facebook/MFL
Dalam masa sama, pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) juga tidak ketinggalan dalam memiliki pemain naturalisasi dan warisan yang didakwa mampu memberikan impak positif kepada skuad tersebut.
KDA FC yang kini berada pada tangga keempat dilihat mempunyai kelebihan apabila mampu membawa masuk pemain yang cukup berpengalaman dalam skuad tersebut.
Berbeza dengan kedudukan musim lepas, Sang Kenari dilihat lebih menepati ramalan apabila menjadi salah satu pasukan yang berada dalam lima terbaik carta Liga Super setakat 16 perlawanan berlangsung musim ini.
Oleh itu, pasukan Selangor dan KDA FC perlu menggunakan peluang dengan sebaik mungkin kerana jika dilihat secara mendalam, kedua pasukan tersebut boleh menyaingi JDT jika kena caranya.
Namun, jurang yang dapat dilihat jika dibandingkan dengan dengan skaud gergasi tanah air adalah taktikal dan sesi latihan yang kurang berkesan daripada pihak pengurusan skuad tersebut.
Dalam pada itu, skuad Gergasi Merah dan Sang Kenari antara lain perlu mengubah taktikal dan membuat latihan yang lebih intensif untuk menghadapi perlawanan seterusnya dalam baki saingan musim ini.
Setiap pasukan memiliki kelebihan masing-masing namun hanya dibezakan dengan cara yang digunakan oleh pengendali pasukan untuk mengasah lagi bakat yang sedia ada. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram