DUNIA bola sepak tanah air pastinya dilihat sering diwarnai dengan pelbagai kerenah bukan sahaja daripada barisan pemain atau pihak pengurusan skuad malah penyokong yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukan mereka.
Dahulu atau sekarang, industri bola sepak tanah air tidak pernah ketinggalan dalam melahirkan pemain yang cukup berpengaruh hingga mereka menjadi buah mulut penyokong tempatan sehingga kini kerana dilihat sering menampilkan aksi-aksi menarik di atas padang.
Bekas pemain Harimau Malaya iaitu Safiq Rahim (kiri) dan Aidil Zafuan. — Agensi
Antara pemain yang sering menjadi topik hangat adalah pemain veteren, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Radzak.
Suatu ketika dahulu, kedua pemain tersebut pernah mewarnai kancah bola sepak tempatan berikutan aksi dan pencapaian yang diperoleh oleh mereka untuk skuad kebangsaan.
Namun begitu, menerusi satu pengumuman di laman Facebook, Johor Southern Tigers, tujuh tahun yang lalu, Safiq Rahim yang menggalas tugas sebagai kapten negara dan naib kapten Aidil Zafuan Radzak memaklumkan mereka bersara daripada bola sepak antarabangsa.
Adakah anda masih ingat, pemain tengah Safiq, yang mengetuai Malaysia dan pernah merangkul kejuaraan Piala AFF 2010 dan bek tengah Aidil Zafuan yang merupakan antara pemain skuad pemenang Sukan Sea 2009 negara.
"Masanya sudah tiba untuk saya bersara daripada pasukan kebangsaan dan saya harap ia akan memberi peluang kepada pemain lain untuk meneruskan tugas itu.
"Saya berharap peranan saya dalam membawa Malaysia meraih kemenangan dalam Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010 akan memberi inspirasi kepada generasi pemain bola sepak seterusnya untuk membawa pasukan tanah air ke peringkat seterusnya," kata Safiq, yang mempunyai 71 penampilan antarabangsa.
Safiq pernah menggalas tugas sebagai kapten skuad kebangsaan. — Agensi
Tonggak utama JDT, Safiq pernah diketepikan daripada tujuh perlawanan antarabangsa terakhir Malaysia berikutan kecederaan. Walaupun tidak dapat beraksi, namun, ketiadaan pemain berusia 35 tahun itu tidak menjejaskan prestasi Malaysia untuk mencatat kemenangan agregat 6-0 ke atas Timor Leste dalam perlawanan playoff Piala Asia yang berlangsung di Johor.
Selain pemain veteren tersebut, tidak ketinggalan ialah pemain tengah berusia 29 tahun yang pernah dianggap sebagai pemain paling berbakat negara ketika era generasinya selain turut merupakan pakar set-piece.
Aidil Zafuan, 29, adalah bek tengah paling berjaya di negara ini dan dia pernah menjadi kapten ketika Safiq tidak menyertai tugas kebangsaan.
"Saya telah membuat keputusan untuk bersara daripada pasukan kebangsaan. Saya berharap pencapaian saya akan merangsang generasi muda," kata Aidil yang turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, peminat dan FAM kerana menyokong kerjayanya.
Secara kebetulan, kedua-dua pemain tersebut adalah tonggak utama gergasi tanah air yang juga juara Piala AFC, kelab Johor Darul Takzim (JDT).
Namun begitu, selepas sahaja dua tonggak JDT mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan, ramai juga pemain Harimau Malaya turut melepaskan tugas tersebut atas sebab yang hanya diketahui oleh mereka.
Antaranya seperti penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan selain Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Junior Eldstal, Amirulhadi Zainal, S. Chanturu dan Amri Yahyah yang mana mereka adalah pemain JDT lain yang beraksi dalam perlawanan antarabangsa selain Zaquan Adha Radzak dari pasukan Liga Perdana, Johor.
Dalam pada itu, selepas sahaja tonggak Harimau Malaya melepaskan tugas tersebut, jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga memberi maklum balas berhubung persaraan mengejutkan Safiq dan Aidil Zafuan.
Selepas persaraan tersebut, Malaysia dijadualkan bertemu juara bertahan, Thailand kerana kedua-dua pasukan diletakkan dalam kumpulan yang sama menerusi undian Piala AFF pada 2 Ogos di Kuala Lumpur.
Dalam perlawanan Piala AFF tersebut, Malaysia terkandas di tengah jalan ketika apabila tidak berjaya mengulangi kembali kejayaan pada 2010. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram