PEMINAT bola sepak tempatan pada Jumaat dikejutkan dengan pengumuman mengenai pemain tengah merangkap kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar akan meninggalkan Sabah FC.
Kelab itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut diambil melalui persetujuan bersama Baddrol atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Keputusan tersebut dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak, namun sebab di sebaliknya masih tidak dikongsikan pihak pengurusan skuad Sang Badak.
"Dia akan sentiasa menjadi legenda di Sabah FC. Segala komitmen, dedikasi, semangat dan motivasi yang diberikan sepanjang bermain bersama Sabah FC dan seterusnya menerajui Sabah ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 akan sentiasa dikenang," katanya.
Baddrol atau lebih dikenali sebagai Kapten Marvel juga pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2009 dan 2011 bersama skuad Harimau Malaya Bawah 23 (B-23).
Berikut Majoriti senaraikan lima momen terindah yang sukar dilupakan penyokong sepanjang hampir dua tahun Baddrol bersama skuad The Rhinos:
1. Sertai revolusi Sang Badak
Penghijrahan Baddrol ke Sabah FC berjaya meningkatkan imej The Rhinos. — Facebook/Sabah FC
Baddrol berhijrah menyertai Sabah yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee pada musim lalu selepas 15 tahun menabur bakti bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum kontraknya berakhir pada penghujung 2021.
Melihatkan kepada aksi yang dipamerkan Baddrol pada musim ini sehingga beliau dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan, ia seharusnya menjadi tambahan cukup berguna buat Sabah bagi menghadapi kempen 2022.
Pada usia 33 tahun, pemain berketinggian 1.77 meter itu telah memenangi kesemua trofi yang dipertandingkan dalam kancah bola sepak Malaysia apabila berkesempatan sebanyak dua kali dalam menjulang Liga Super musim 2006/2007 dan 2007/2008.
Sebelum ini, Sang Badak dikatakan sebagai kelab yang kurang menonjol, namun dengan penghijrahan Baddrol ke dalam pasukan itu, ditambah kehadiran tonggak utama Kedah, Rizal Ghazali ketika itu berjaya meningkatkan imej The Rhinos.
2. Berperanan sebagai kapten pasukan
Baddrol dianggap sebagai antara tonggak utama skuad Sang Badak musim ini. — Facebook/Sabah FC
Sebaik menjejakkan kaki ke Negeri di Bawah Bayu, Baddrol sudah diberi kepercayaan untuk mengetuai pasukan kendalian Kim Swee.
Peranan sebagai kapten bukanlah baharu untuk pemain berusia 36 tahun itu memandangkan dia juga pernah memakai lilitan kapten ketika bersama skuad Sang Kenari.
Aura kepimpinannya di atas padang membuatkan Kim Swee memberikan kepercayaannya kepada Baddrol untuk memimpin rakan sepasukan baik pemain muda mahupun senior.
Malah, kepimpinannya tidak boleh dipertikaikan kerana Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri pernah menganggap anak kelahiran Sungai Petani itu sebagai legenda sebenar pasukan Kedah.
Bahkan, jersi nombor 7 yang dipakai sepanjang beraksi bersama KDA FC tidak pernah diberikan kepada mana-mana pemain baharu bagi menghormati 'glory' yang dibuat bersama skuad Hjau Kuning.
3. Gol sulung jeneral Sabah
Jersi nombor 7 yang dipakai sepanjang beraksi bersama KDA FC tidak pernah diberikan kepada mana-mana pemain baharu bagi menghormati 'glory' yang dibuat bersama skuad Hjau Kuning. — Facebook/Sabah FC
Sepanjang musim lalu, Baddrol mencetak enam gol dengan dua daripadanya ketika menentang Penang FC, menyaksikan Sabah menang 4-2 ke atas skuad Harimau Kumbang.
Baddrol ketika itu yang bermain di posisi sayap kanan berbanding posisi regularnya sebagai pemain tengah, menjaringkan gol melalui sepakan gunting untuk memastikan kejayaan pasukannya di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 17 Mei 2022.
Terdahulu, dia mencetak gol sulung bersama Sabah dalam pertemuan Derby Borneo dengan Sarawak United yang memperlihatkan Sabah menang 1-0 menerusi sepakan penalti jeneral The Rhinos.
Selebihnya gol pemain yang mendapat gelaran BB7 itu dicatat ketika menentang Selangor FC dan satu lagi aksi lain masing-masing ketika menentang Sarawak United dan Penang FC.
4. Antara top scorer bawa Sabah ke Piala AFC
Baddrol antara penyumbang gol yang membolehkan Sabah mengutip tiga mata penuh apabila memenangi satu-satu perlawanan. — Facebook/Sabah FC
Dengan jumlah jaringan yang cukup memberangsangkan sepanjang musim 2022, Baddrol antara penyumbang gol yang membolehkan Sabah mengutip tiga mata penuh apabila memenangi satu-satu perlawanan.
Sabah FC bakal beraksi pada saingan kejohanan Piala AFC musim ini apabila menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga ketiga dengan mengumpul keseluruhan 42 mata daripada 22 perlawanan.
Tidak dilupakan, bekas tonggak Harimau Malaya itu juga antara watak penting yang membantu skuad KDA FC ketika kelayakan Piala AFC 2021, namun dia tidak sempat bermain dalam kempen tersebut kerana sudah berkelana ke Sabah FC.
5. Rakan susah senang
Baddrol (belakang kiri) menemani Rizal di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. — Bernama
Ketika pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor atas pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya di sebuah bilik hotel baru-baru ini, Baddrol dilihat antara individu yang setia berada di samping rakannya.
Bukan sahaja dengan Rizal, malah dia dianggap sebagai salah seorang figura penting yang membantu rakan-rakan sepasukannya.
Malah sifat Baddrol yang mesra bersama pemain lain menjadikan dia sebagai kapten yang sangat disayangi dalam kalangan pemain Sang Badak itu sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram