JENDELA perpindahan kedua pada Julai ini menyaksikan Sabah FC membawa masuk dua tonggak import iaitu pemain dari Brazil, Ramon Machado de Macedo dan bekas bekas sayap kanan Kelantan FC, Miguel Cifuentes.
Kehadiran Ramon Machado yang akan tampil sebagai penyerang dalam skuad Sabah FC sememangnya ditunggu-tunggu oleh penyokong berikutan Sang Badak masih lemah di bahagian serangan.
Manakala, Cifuentes pula dianggap sebagai pemain versatail The Rhinos yang mana yang mampu beraksi di beberapa posisi antaranya pertahanan kanan, sayap kanan dan juga pemain tengah.
Selain pengumuman dua pemain baharu tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir juga mendedahkan bahawa pasukannya berkemungkinan akan membuang beberapa pemain pada jendela perpindahan di pusingan kedua Liga Malaysia.
Berdasarkan perkembangan baharu daripada Marzuki Nasir itu, berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang mungkin ditendang keluar daripada Sabah FC dalam masa terdekat ini:
1) Jailton Paraiba
Jailton kali terakhir diturunkan ketika aksi PDRM menewaskan Sabah 1-0 pada 8 Jun lalu. — Facebook/SabahFC
Tonggak sayap dari Brazil, Jailton Paraiba yang tiba pada awal Januari lalu untuk membantu memperkukuhkan jentera serangan Sabah dijangka akan mengucapkan selamat tinggal kepada The Rhinos pada jendela perpindahan kedua Julai ini.
Ketiadaan kelibatnya pada sesi latihan dan perlawanan menewaskan Kelantan United FC (KUFC) 3-0 pada baru-baru ini menimbulkan syak wasangka penyokong dan berpendapat bahawa pemain berusia 32 tahun itu bakal digugurkan daripada Sang Badak.
Bukan itu sahaja, pemain yang pernah beraksi di Liga Super China bersama Shanghai Shenxin itu juga tidak kelihatan ketika The Rhinos mengadakan Bonding Session di Kundasang, Sabah baru-baru ini.
Sekalipun Jailton masih beraksi bersama Sabah pada pusingan kedua, pemain berketinggian 1.66 meter itu dijangka mungkin akan sedikit bergelut untuk mengumpul minit permainan kerana perlu bersaing dengan Cifuentes di posisi sama.
Untuk rekod, Jailton merekodkan lima hantaran bantuan dalam 14 penampilan Liga Super musim ini dan mengumpul 831 minit permainan untuk The Rhinos.
2) Danial Haqim Deraman
Danial Haqim hanya beraksi bersama skuad B-23 bagi saingan Piala MFL. — Facebook/SabahFC
Pemain tenggah Sabah FC, Danial Haqim Deraman sepertinya kurang berjaya menarik perhatian pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk meletakkannya dalam kesebelasan utama The Rhinos pada musim ini.
Buktinya, berdasarkan pemerhatian di laman Transfermrkt, pemain berusia 22 tahun itu tidak tampil dalam satu pun perlawanan Liga Super dan hanya beraksi bersama skuad Bawah 23 tahun (B-23) bagi saingan Piala MFL.
Dengan hanya sekadar beraksi di pasukan simpanan The Rhinos, adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Danial Haqim berkemungkinan akan memilih untuk angkat kaki kelab Liga Super lain bagi mencari peluang dan minit permainan.
Sebelum menyertai Johor Darul Takzim (JDT) pada 2020, Danial Haqim melakukan debut bersama Kelantan FC pada 2018, yang mana pengendalinya, Fajr Ebrahim berjaya mengeluarkan potensinya.
Selama dua musim bersama The Red Warriors (TRW), pemain kelahiran Kelantan itu diberi kepercayaan oleh pengendali dari Syria itu untuk tampil sebanyak 37 kali.
3) Irfan Fazail
Irfan turut menjadi ketua pasukan Sabah B-23. — Facebook/SabahFC
Pilihan pemain tengah yang berkualiti di Sabah FC membuatkan bekas pemain kebangsaan, Irfan Fazail kurang menjadi pilihan Kim Swee untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama The Rhinos musim ini.
Nama-nama seperti Baddrol Bakhtiar, Stuart Wilkin dan import Portugal, Telmo Castanheira antara wajah utama untuk memperkukuhkan jentera tengah pasukan berpangkalan di Borneo tersebut.
Musim ini, pemain kelahiran Johor itu hanya tampil dalam enam perlawanan Liga Super dan selebihnya, kudratnya digunakan pihak pengurusan untuk membantu Sabah B-23 di saingan Piala MFL.
DIsebabkan persaingan sengit di posisi tengah itu membuatkan terdapat penyokong The Rhinos beranggapan bahawa pihak pengurusan akan memilih untuk mengugurkan Irfan sekali gus boleh menjimatkan kewangan kelab.
Untuk rekod, Irfan berhijrah ke Sabah FC pada musim 2022 selepas memilih untuk meninggalkan Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram