SELEPAS menumpaskan PDRM dalam aksi minggu ke-16 Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC sekali lagi menang dengan kali ini Kelantan United FC menjadi 'mangsa' skuad Sang Kenari.
Meskipun terikat pada separuh masa pertama, asakan demi asakan daripada anak-anak buah Nafuzi Zain membolehkan mereka meraih kemenangan 3-1 di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.
Nama yang pastinya disebut-sebut ialah penyerang kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun selepas menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua permainan.
Kepintarannya untuk membaca hantaran Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman pada minit ke-55 membolehkan skuad Sang Kenari mencipta jurang dengan skuad Kijang Hijau.
Kira-kira 20 minit selepas itu, pemenang dua Anugerah Kasut Emas Liga Super itu sekali lagi menggegarkan gawang lawan selepas menampan bola daripada Fayadh Zulkifli Amin.
Pemain tengah kelahiran Tajikistan, Amirbek Juraboev kemudiannya menjaringkan pada minit ke-86 sebelum Ismahel Akinade mendapatkan gol saguhati buat Kelantan United pada waktu kecederaan.
Melihat kepada komen di ruangan media sosial, Ifedayo dikatakan wajar untuk dinamankan sebagai pemain terbaik perlawanan dengan dua gol yang dijaringkannya.
Moses Atede sekali lagi mencuri nama dalam kalangan penyokong Hijau Kuning. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Bagaimanapun, nama pemain tengah, Moses Atede Jona turut disebut-sebut apabila kelibatnya di bahagian tengah cukup penting di sebalik kemenangan berkenaan.
Ia merupakan penampilan kedua buat pemain berusia 25 tahun itu selepas hadir ketika awal jendela perpindahan yang lalu bersama Ifedayo.
Di samping pintar dalam melakukan hantaran, Moses juga sering melakukan pintasan bola untuk menggagalkan gerakan serangan skuad Kijang Hijau.
"Moses memang puji lah, mempunyai mentaliti untuk terus ke hadapan. Jenis pemain tengah yang sangat-sangat diperlukan KDA FC," kata Azrin Jalani.
"Moses menyerlah. Hantaran lolos dia berbahaya. Pemain tengah bertahan dah ada pilihan yang baik antara dia dgn Amirbek," kata Mohd Hafiz Zuhail.
"Aspek pertahanan perlu tambah baik, Moses keluar sahaja, benteng terus celaru dan bermain secara terbuka kerana Amirbek mempunyai cara berbeza," ujar Are Mean.
Sebelum ini, pemain berkenaan turut mencuri nama selepas beraksi dengan cukup cemerlang ketika berdepan skuad Sang Saka Biru di tempat lawan.
Jadi, dengan kehadirannya membawa perubahan ketara buat skuad Sang Kenari, terdapat kemungkinan pemain kelahiran Nigeria itu akan terus beraksi untuk baki musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram