BARU-BARU ini, industri bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita mengenai legenda bola sepak negara, Baddrol Bakhtiar meninggalkan pasukan Sabah FC.
Sabah FC berkongsi berita yang agak mendukacitakan penyokong bola sepak tanah air itu pada Jumaat menerusi siaran langsung di laman Facebook.
Bagaimanapun, difahamkan bahawa Baddrol atau terkenal dengan jolokan Kapten Marvel itu akan beraksi bersama skuad Sang Badak pada perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu.
Sekitar sesi latihan barisan pemain Sang Badak. — Facebook/Sabahfootballclub
Oleh itu, terdapat beberapa penyokong tanah air meluahkan perasaan yang menginginkan agar kapten Sang Badak itu turun beraksi buat kali terakhir bersama pasukan di Negeri Bawah Bayu tersebut.
Di samping itu, dalam aksi bertemu skuad Tok Gajah, penyokong juga berharap agar khidmat kali terakhir Kapten Marvel itu mampu mengembalikan semangat Sabah FC yang pernah menjuarai Piala FA 1995.
28 tahun yang lalu, bagi menentukan juara Piala FA 1995, kedua-dua pasukan yang bertanding iatu Sabah dan Pahang, masing-masing belum pernah menjulang piala tersebut.
Kedua-dua pasukan masing-masing dikendalikan oleh pengendali yang bertugas ketika itu iaitu bagi Sabah FC, Kelly Tham selaku ketua jurulatih malah pasukan Pahang pula dikemudi oleh pengendali muda, Yunus Alif.
Dalam perlawanan separuh akhir Piala FA, Sabah telah menewaskan pasukan Selangor manakala Pahang menewaskan pasukan Johor.
Ini merupakan kali ke-3 Sabah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA. Namun, pada tahun 1993, Sabah tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur dan sekali lagi dengan keputusan 1-3 pada tahun 1994, Sabah kecundang kepada pasukan yang sama.
Serangan daripada Matlan Marjan pada minit ke-44 ketika itu memberi peluang kepada Sabah menjadi pendahulu perlawanan. Sabah terus dahaga jaringan apabila Scott Ollerenshaw menambah jaringan pada babak kedua aksi tersebut.
Gol kemenangan dalam aksi final itu disempurnakan oleh Milomir Seslija mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-81.
Meskipun pulang dengan tangan kosong,pasukan Sri Pahang berjaya membawa sagu hati menerusi jaringan Dollah Salleh pada minit ke-89.
Berikutan kejuaraan tersebut, Sabah FC berjaya merangkul kejuaraan ketika berdepan Sri Pahang pada aksi Final Piala FA 1995.
"Semoga BB7 dapat membawa aura kejayaan Piala FA 1995. Good luck Sabah," kata Dodie Azmie.
"Harap-harap Sabah menang lawan Sri Pahang, 3-1 juga macam Piala FA 1995," kata Jamie Az Choboy.
"Hadiahkan kemenangan malam ini buat BB7 (nama jolokan lain Baddrol) sebagai penghargaan dan terima kasih kita atas sumbangannya membantu skuad Sabah FC," kata Erawan Musa Wan.
Oleh itu, penyokong berharap agar Ketua Jurulatih, Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memberi peluang kepada BB7 beraksi bersama Sang Badak sebagai penampilan terakhir bersama pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram