JOHOR Darul Takzim (JDT) terus berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka selepas membelasah Kelantan FC dengan keputusan 5-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Harimau Selatan membuka jaringan pada minit kesembilan hasil rembatan luar kotak penalti Fernando Forestieri dan babak pertama pertama perlawanan berakhir dengan Tandukan Oscar Arribas pada minit ke-23.
Tiga lagi jaringan gol pada aksi di laman tuan rumah itu disumbangkan oleh Forestieri pada minit ke-60, Bergson da Silva (64’) sebelum pemain gantian Muhammad Akhyar Abdul Rashid menoktahkan kemenangan Harimau Selatan dengan gol kelima pada minit ke-77.
Namun, aksi ke-17 Liga Super itu menyaksikan pengendali JDT, Esteban Solari tidak menurunkan pemain muda sensasi, Arif Aiman Hanapi dan ketiadaannya dicari penyokong berikutan kelibat penyerang sayap itu turut tidak kelihatan pada bangku simpanan.
Kehilangan Arif Aiman akhirnya terjawab selepas difahamkan pemain berusia 21 tanun itu berkunjung ke rumah seorang pesakit kanser di Kampung Pulai Sebatang, Pontian, Johor bagi mereaslisasikan impian remaja lelaki itu.
Tangkap layar Insta Story Arif Aiman.
Berdasarkan perkongsian dari laman Facebook, Masharakat Bola memaklumkan bahawa Muhammad Irfan Abdullah, 13, sudah lama memasang impian berjumpa dengan Pemain Paling Bernilai (MVP) musim 2021 dan 2022.
“Arif Aiman telah berkunjung ke kediaman remaja tersebut di Kampung Pulai Sebatang Pontian, Johor bersama buah tangan istimewa yang berupa jersi ‘matchworn’ JDT dan beberapa barangan lagi.
“Sebelum ini, Muhammad Irfan Abdullah, yang menderita kanser Rhabdomyosarcoma (RMS) telah menyatakan hasrat berjumpa dengan pemain ajaib JDT tersebut kepada ibunya. ‘Abang teringin sangat nak jumpa Arif Aiman, tapi kalau umur tak panjang, tidak apalah’ Semoga adik Irfan diberi kesembuhan,” kongsi laman Facebook itu.
Pada masa sama, Arif Aiman juga berkongsi kunjungannya ke rumah Muhammad Irfan di laman Insta Story miliknya.
Majoriti sebelum ini melaporkan Muhammad Irfan ataupun lebih mesra dengan sapaan Yong itu sudah lama menyimpan hasrat untuk bertemu idolanya, Arif Aiman dan remaja itu merupakan peminat fanatik tonggak kebangsaan tersebut sejak awal kemunculannya sebagai pemain profesional.
Bukan itu sahaja menurut ibunya, Puteri Nor Fairus mengatakan bahawa Arif Aiman juga memasang impian untuk bermain bola sepak bersama pemain berjersi 42 itu.
Menceritakan mengenai penyakit yang menimpa anak sulungnya itu, Puteri Nor Fairus berkata, pihak hospital mula mengenal pasti sel-sel barah yang berada dalam badan anaknya sejak Julai tahun lalu selepas dia jatuh ketika hendak mengambil air wuduk di sekolah agamanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram