Terjatuh lepas ambil wuduk, remaja derita kanser RMS teringin nak jumpa bintang JDT


  • Tular
  • Isnin, 10 Jul 2023

Yong (kanan) meminati Arif Aiman (kiri) sejak awal kemunculannya sebagai pemain profesional. — Facebook/Puteri Ab Rahin

"ABANG teringin sangat nak jumpa Arif Aiman, tapi kalau umur tak panjang, tidak apalah."

Begitu luahan meruntun hati seorang pesakit kanser, Muhammad Irfan Abdullah, 13, dari Kampung Pulai Sebatang Pontian, Johor yang menyimpan hasrat untuk bertemu idolanya, pemain sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi.

Muhammad Irfan atau lebih mesra dipanggil Yong disahkan menderita kanser Rhabdomyosarcoma (RMS).

Ibu kanak-kanak tersebut, Puteri Nor Fairus Ab Rahin, 35, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu merupakan peminat fanatik Arif Aiman sejak awal kemunculannya sebagai pemain profesional.

"Pada asalnya hanya saya yang minat tengok perlawanan bola, kemudian saya ajak Yong tonton sekali, hingga akhirnya dia sendiri terjebak dan suka dengan pasukan JDT (Johor Darul Takzim), tambah-tambah lagi Arif Aiman.

"Dulu dia tak berapa suka sangat bola. Tapi lepas selalu tengok (perlawanan bola) dengan saya, dia sudah mula suka melihat cara pemain itu mengawal bola serta taktikal yang ditunjukkan. Apabila dia sihat dan sepupunya datang ke rumah, dia akan bermain bola sepak di rumah," katanya kepada Majoriti.

Yong merupakan atlet lumba lari yang pernah mewakili sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Baloi. — Facebook/Puteri Ab Rahin

Puteri Nor Fairus mengakui bahawa sudah beberapa kali Yong menyatakan hasrat untuk bertemu idolanya itu, namun rezeki masih belum berpihak kepadanya.

Ujarnya, sebagai ibu pastinya dia ingin menunaikan keinginan Yong yang juga merupakan penghidap Disleksia.

Berstatus pemain bola sepak profesional, ditambah kesibukannya menjalani latihan pastinya tidak mudah untuk suri rumah itu membuat temu janji bagi mempertemukan kedua-dua individu tersebut.

Yong disahkan menghidap kanser RMS sejak Julai tahun lalu. — Facebook/Puteri Ab Rahin

"Namun sebagai ibu, saya mesti rasa tak sampai hati bila kita tak dapat tunaikan permintaan anak.

"Bukan mudah, saya cuba sehabis baik untuk cari sesiapa yang boleh tunaikan permintaan abang.

"Dia kata dapat jumpa sekejap pun jadilah, kalau sihat dan dapat jumpa, dia nak main sekali dengan Arif Aiman, mungkin bersama-sama dalam sesi latihan pasukan JDT," jelasnya.

Menceritakan mengenai penyakit yang menimpa anak sulungnya itu, Puteri Nor Fairus berkata, pihak hospital mula mengenal pasti sel-sel barah yang berada dalam badan anaknya sejak Julai tahun lalu selepas dia jatuh ketika hendak mengambil air wuduk di sekolah agamanya.

Siapa sangka, asbab daripada insiden itu, doktor mengesahkan Yong menghidapi RMS, kanser yang jarang berlaku dan ia terbentuk dalam tisu lembut terutamanya tisu otot rangka atau organ dalaman. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram