[VIDEO] 'Andai dapat ku undurkan masa', anak jati Kuala Terengganu rindu sarung jersi Sang Penyu?


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Skuad Sang Penyu sering dibarisi bintang-bintang dari dalam mahupun dari luar negara.

TIDAK boleh dinafikan bahawa skuad belia Terengganu FC sering menghasilkan bakat-bakat muda yang rata-ratanya lahir dalam kalangan anak jati negeri berkenaan.

Musim ini, Azam Azmi Murad, Arif Fadzilah dan Rahadiazli Rahalim merupakan antara produk yang dilahirkan dengan masing-masing sudah diberikan minit permainan dalam Liga Super.

Perkara itu bukanlah sesuatu baharu memandangkan beberapa pemain yang pernah berada dalam akademi kelab Pantai Timur tersebut juga berpeluang bermain untuk skuad kebangsaan.

Antara yang sukar dilupakan penyokong Terengganu FC ialah pemain tengah, Ismail Faruqi Asha'ri selepas memulakan karier dalam sukan berkenaan pada 2007.

Bagaimanapun, namanya mula meningkat naik pada awal dekad lalu dengan skuad Sang Penyu merupakan antara pasukan yang dihormati dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

WhatsApp Image 2023-07-14 at 15.06.52 (1)

Ismail (kiri) ketika beraksi bersama skuad Sang Penyu.

Mereka yang ketika itu dibintangi nama-nama besar seperti Ashari Shamsudin, Issey Nakajima dan Effa Owona meletakkan sandaran akan Ismail dengan kebolehannya untuk mengawal bahagian tengah.

Namun, pada 2018, dia kemudiannya diletakkan dalam skuad simpanan kelab itu selepas mengalami beberapa siri kecederaan sehingga menyaksikannya disisihkan.

Kini, individu yang sudah berusia 36 tahun terbabit difahamkan sedang diberikan peranan sebagai jurulatih dalam program pembangunan akar umbi Terengganu FC.

Ia dapat disaksikan dalam perkongsian yang dibuat dalam Instagram peribadinya dengan dia sering terlibat dengan pemain muda di kelab terbabit.

Tetapi, baru-baru ini, nama Ismail sekali lagi disebut-sebut penyokong Sang Penyu apabila satu hantaran menarik dibuat anak jati Kuala Terengganu itu.

Dalam posting yang dibuat di InstaStory bekas kapten Terengganu FC itu, dia dilihat berkongsi semula klip jaringannya ketika berdepan Pahang FA pada musim 2014.

Hantaran itu turut disertakan dengan kapsyen 'Andaiku dapat undurkan masa' serta lagu berjudul Bila Cinta Didusta nyanyian Screen.

Perkara berkenaan kemudiannya mula dikongsikan peminat setia pasukan apabila mereka berasakan Ismail cukup merindui suasana beraksi dalam Liga Super.

Ismail merupakan salah seorang pemain yang berada dalam skuad Sang Penyu yang menjuarai Piala FA pada 2011 dengan dia menjaringkan gol penting di peringkat separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram