TARIKH 12 Ogos depan bakal menyaksikan berlangsungnya pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri membabitkan Negeri Sembilan, Selangor Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Dianggarkan seramai kira-kira 10 juta pengundi yang layak bakal menjalankan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat masing di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Secara keseluruhannya, sebanyak 245 kerusi DUN bakal dipertandingkan dalam PRN keenam-enam negeri tersebut.
Dalam saingan kali ini, antara yang menjadi perhatian tentunya adalah kadar peratusan keluar mengundi.
Ini kerana berdasarkan kepada senario beberapa PRN yang diadakan di luar tempoh waktu Pilihan Raya Umum (PRU), ia menyaksikan kadar keluar mengundi yang agak rendah.
Sebagai contoh, peratusan keluar mengundi pada PRN Johor yang diadakan pada 12 Mac 2022 hanya mencapai 54.92 peratus manakala PRN Melaka yang dilangsungkan pada 20 November lalu pula hanya mencatatkan 65.85 peratus.
Selain faktor penularan Covid-19 yang berlaku pada waktu itu, punca lain dipercayai menyumbang kepada situasi tersebut adalah sikap pengundi yang beranggapan bahawa pengundian diberikan untuk DUN tidaklah sepenting di peringkat Parlimen.
Malah, terdapat kemungkinan bahawa ada pengundi berpendapat bahawa nilai undi yang diberikan mereka dalam PRN tidak setinggi ketika mereka membuat keputusan ketika memilih wakil di Dewan Rakyat ketika PRU.
Namun begitu, perspektif tersebut berkemungkinan berubah apabila mereka menyedari bahawa sejarah membuktikan penentuan bagi merebut kerusi DUN adalah sangat sengit jika dibandingkan perebutan kerusi Parlimen.
Dianggarkan seramai kira-kira 10 juta pengundi yang layak bakal menjalankan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat masing di peringkat DUN. — Gambar hiasan
Seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama akaun Thevesh berkata, hasil daripada data PRU yang dianalisisnya, perebutan kerusi DUN menyaksikan paling banyak berlakunya kemenangan dengan majoriti tipis.
Jumlah majoriti kecil dimaksudkan itu adalah setipis dua undi.
"Bayangkan rasa kesal yang bakal anda rasa sekiranya tidak memilih untuk turun mengundi," tulisnya menerusi ciapan di Twitter.
Berikut senarai lima kemenangan dengan majoriti paling tipis dalam sejarah pilihan raya di Malaysia yang dikongsikan Thevesh:
1. DUN Kepong, Selangor
Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1964 merupakan PRU pertama yang diadakan di dalam negara selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.
Pada masa sama, pilihan raya tersebut juga menyaksikan kemenangan paling tipis dalam sejarah PRU di Malaysia apabila blok pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Sosialis hanya menang dengan majoriti dua undi di DUN Kepong melalui calonnya, Tan Chee Kon.
Pada waktu itu, Perikatan yang diterajui Umno mencatatkan kemenangan memberangsangkan dengan memperoleh 24 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan di Selangor manakala empat kerusi lebihan pula dimenangi oleh Barisan Sosialis.
Chee Kon terus mempertahankan DUN Kepong dalam penggal seterusnya pada 1969 sebagai calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Kawasan DUN itu kemudiannya tidak lagi dipertandingkan dalam PRU 1974.
2. DUN Kemuning, Kelantan
DUN Kemuning merupakan kawasan pilihan raya yang terletak di bawah Parlimen Machang.
Pada PRU 2004 menyaksikan persaingan dua penjuru antara calon PAS, Zakaria Yaacob dan Barisan Nasional (BN), Wan Mohamad Zin Mat Amin.
Dalam pertandingan tersebut, Zakaria memperoleh kemenangan tipis apabila hanya mendapat majoriti empat undi dengan 6,078 undi menewaskan lawannya yang mendapat 6,076 undi.
Lebih menarik, kemenangan tersebut sangat bermakna kerana PAS pada waktu itu hanya berjaya mengekalkan penguasaannya di Kelantan dengan jumlah majoriti yang agak tipis iaitu dua kerusi dengan 24 kerusi manakala BN pula memperoleh 22 kerusi.
3. DUN Ajil, Terengganu
Persaingan di DUN Ajil pada PRU 2018 menyaksikan PAS terus mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam penggal sebelumnya menerusi calonnya, Maliaman Kassim.
Bagaimanapun, kemenangan diperoleh dalam saingan tiga penjuru itu tidak mudah apabila majoriti yang diperolehinya sebanyak empat undi dengan dia mengumpul sebanyak 8,132 undi.
Beliau dicabar rapat oleh calon BN, Ghazali Taib yang mendapat 8,128 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Zamani Mamat (679 undi)
Pada PRU berkenaan, PAS berjaya merampas semula pentadbiran Terengganu dengan memperoleh 22 kerusi, iaitu dengan majoriti sebanyak enam kerusi manakala BN pula sekadar memperoleh 10 kerusi.
4. DUN Chini, Pahang
Pada PRU 1999, calon Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohd Jafri Ab Rashid berjaya membuat kejutan apabila menang tipis dengan majoriti lima undi di DUN Chini dan mengalahkan calon BN.
Kemenangan di kerusi DUN di bawah Parlimen Pekan itu disumbangkan antara lain akibat daripada pengaruh reformasi yang melanda politik negara ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan juga Umno pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, parti pembangkang yang ketika itu turut dianggotai oleh PAS, Keadilan dan DAP di bawah gabungan Barisan Alternatif hanya berjaya memenangi lapan daripada 38 kerusi yang dipertandingkan bagi DUN Pahang.
Keadilan kemudiannya bergabung bersama Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk PKR pada 2003.
Dalam PRU seterusnya, DUN Chini kemudiannya terus menjadi kubu kuat BN dengan gabungan itu mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal berturut-turut sehingga kini.
5. DUN Sanglang, Perlis
Dalam PRU 1969, calon Perikatan, Jaafar Hassan hanya menang dengan majoriti lima undi bagi menawan DUN Sanglang yang kini terletak di bawah Parlimen Padang Besar.
DUN Sanglang terus dikuasai oleh gabungan Perikatan yang kemudiannya dijenamakan semula kepada BN pada 1973 selama tujuh penggal berturut-turut.
Bagaimanapun, PAS berjaya merampas kerusi tersebut pada PRU 1999 dan meneruskan penguasaannya sehingga kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram