PEMAIN sayap Terengganu FC, Muhd Faiz Nasir sah sertai Kelantan United FC (KUFC) sehingga akhir musim ini selepas dia dikhabarkan ingin mencari minit permainan bagi baki saingan Liga Super musim ini.
Terengganu yang kini dalam proses memperkukuhkan pasukan bagi mengharungi pusingan kedua liga turut meminjamkan seorang lagi pemain, Muhammad Azarul Nazarith Azhar ke Sang Kijang Hijau sehingga akhir musim.
Menurut Kelantan United FC dalam laman rasmi Facebook berkata, kedua-dua pemain dibawa masuk dalam usaha pihak kelab untuk menambah sengat jentera pertahanan serta serangan pasukan.
"Kehadiran Faiz Nasir atau turut digelar Messi dalam kalangan rakan sepasukan diharap mampu membantu Sang Kijang Hijau lebih mencabar pada perlawanan selepas ini dalam Liga Super dan Piala Malaysia.
"Kelantan United percaya keberadaan Faiz Nasir dan Azarul Nazarith akan memberikan impak yang diharapkan dan turut memberikan ketua jurulatih, Ailton Silva lebih pilihan pemain dalam merencanakan taktikal.
"Pengalaman yang dimiliki Faiz Nasir dalam kancah Liga Malaysia bersama beberapa pasukan seperti PBAPP, Felcra, dan Selangor selain mempunyai caps bersama Harimau Malaya serta penglibatan Azarul Nazarith ketika mewakili Felda United sebelum menyertai Terengganu FC diharap membawa satu perubahan besar," katanya pada Khamis.
Rezal turut mengikut jejak langkah Ismahil Akinade meninggalkan Kelantan FC dengan menyertai KUFC. — Facebook/KUFC
Selain dua pemain itu, Rezal Zambery Yahya turut dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United FC yang baharu.
Rezal yang juga bekas pemain kebangsaan serta berpengalaman luas sebagai pemain bertanggungjawab untuk memperbaiki dan meningkatkan program akar umbi dan pembangunan pemain muda Sang Kijang Hijau.
Bekas ketua jurulatih Kelantan itu diberi tanggungjawab yang cukup besar memantau dan melaksanakan keseluruhan program serta pembangunan bola sepak Kelantan United FC di negeri itu.
Menurut Rezal, pihak pengurusan memberikan penerangan yang sangat jelas dengan beberapa projek besar yang akan dilaksanakan menyebabkan dia tertarik untuk bersama Kelantan United FC menjayakan projek tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram