'Drama belum habis', untungkan pengurusan antara pro-kontra andai Azam Azmi tinggalkan Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Azam musim ini tampil dalam kesemua 15 perlawanan Liga Super. — Facebook/TFC

KEM Terengganu FC (TFC) menarik nafas lega selepas pertahanan kental, Azam Azmi Murad membuat pilihan untuk kekal di bumi Darul Iman selepas difahamkan khidmatnya diburu pasukan elit tanah air pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Menerusi laporan dari wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kelab berkenaan difahamkan sedia menebus kontrak bek kanan muda itu dengan nilai tinggi bagi memperbaiki pertahanan yang longgar.

Bagaimanapun, perkara itu sudah dinafikan ejen Azam yang menggunakan akaun Twitter, Joe Berbatov dengan mengatakan tiada tawaran diterima pihaknya dan kapten Bawah 23 tahun (B-23) negara tersebut akan terus kekal bersama TFC sehingga musim 2025.

Namun menurut ciapan Piang Shankly di Twitter pada Rabu, masih ada lagi satu pasukan elit Liga Super yang sedang memburu khidmat Azam.

Jika dilihat kepada keadaan semasa, pasukan yang dikaitkan itu adalah Selangor dek kerana masalah pertahanan yang sering dihadapi mereka.

Selangor yang walaupun sedang menduduki tangga kedua liga, namun isu pertahanan masih menghantui pasukan tersebut dan ia sudah menjadi kerisauan penyokong jika skuad itu bercita-cita ke kejohanan AFC.

Jika perpindahan ini berlaku, Majoriti senaraikan pro-kontra Azam sekiranya meninggalkan Terengganu:

1953020

Azam antara tonggak utama TFC. — Facebook/TFC

Pro:-

1. Beri peluang pemain lain

Umum mengetahui Terengganu FC mempunyai ramai pemain berbakat yang kini sedang memanaskan bangku simpanan.

Jika Azam berhijrah ke pasukan lain, ia sekali gus membuka peluang untuk pemain lain seperti Safwan Mazlan, Hairiey Hakim dan Adib Zainudin untuk lebih menonjol dan menyinar di kancah Liga Super.

Antara pemain tumpuan yang boleh menggantikan Azam ialah Safwan yang kini turut menjadi pemain utama B-23 Harimau Muda.

2. Keuntungan pihak pengurusan

Jarang kita melihat berlaku proses perpindahan di antara kelab-kelab Liga M yang melibatkan wang.

Dengan wang tebusan terhadap kontrak Azam, pihak pengurusan boleh menggunakan keuntungan itu untuk pelbagai tujuan lain yang memanfaatkan bola sepak negeri.

Di antaranya ialah pembelian pemain baharu ataupun boleh menggunakan untuk pembangunan bola sepak akar umbi.

st03_1672723767

Azam pernah dilayangkan kad merah semasa kempen Piala AFF Suzuki 2022.

Kontra:-

1. Tiada pengganti di TFC

Mungkin Terengganu mempunyai ramai pemain muda namun menjadi persoalan adakah mereka mampu menyamai pencapaian Azam yang diketahui bermain dengan cukup baik bukan sahaja di skuad Sang Penyu, malah pemain yang turut dikenali dengan gelaran 'Aney' itu juga menjadi wajah regular skuad kebangsaan.

Azam musim ini telah tampil dalam kesemua 15 perlawanan dan berjaya menghasilkan dua assists sepanjang diturunkan.

Pemain berusia 22 tahun itu turut menjadi tunjang utama Harimau Muda dan menjadi pilihan Kim Pan-gon untuk membarisi Harimau Malaya dalam beberapa aksi penting skuad kebangsaan termasuk ketika kempen Piala AFF 2022.

2. Benteng Pertahanan Goyah

Azam merupakan tunjang utama benteng pertahanan TFC ketika ini yang mana dia sering memberikan pelbagai variasi serangan dan pertahanan pasukan.

Musim ini, TFC sudah bolos 21 jaringan dan jika Azam meninggalkan pasukan dari Pantai Timur itu mungkin akan memberikan kesan yang besar buat Sang Penyu.

Ia akan menjadi sukar untuk jurulatih, Tomislav Steinbruckner mencari pengganti untuk posisi Azam sekali gus boleh meletakkan Sang Penyu dalam situasi goyah bagi mengharungi baki musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram