PEMAIN kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin terus kekal beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) selepas sah kembali menyarung jersi Selangor FC walaupun terdapat tawaran dari Thailand.
Safuwan yang menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC) pada awal musim, kembali bersama Selangor untuk menguatkan pertahanan Gergasi Merah yang dilihat semakin rapuh.
Sebelum ini dia menandatangani kontrak dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) selama enam bulan atas faktor kecederaan dan pemain berkenaan tidak memperbaharui kontraknya.
Bagaimanapun, dalam tempoh enam bulan, Safuwan dilihat berjaya memainkan peranan penting dalam membantu NSFC mengharungi saingan Liga Super dan Piala FA.
Bercakap kepada Selangor FC, Safuwan mengatakan yang dia teruja melihat perkembangan hebat Gergasi Merah terutamanya selepas pemain itu meninggalkan mereka.
"Pertama sekali, seronok dapat kembali semula. Saya amat teruja dapat balik kontrak semula di Selangor selepas enam bulan meninggalkan pasukan.
"Buat masa sekarang, bila saya tengok perlawanan-perlawanan Selangor saya rasa wow, pasukan ini semakin hebat dan hebat dan saya cemburu melihat apa yang berlaku sekarang.
Safuwan mendedahkan dia memilih menyertai Selangor selepas berbincang dengan ibu bapanya.
"Memang dari awal saya plan main Liga Thailand tapi bila masa hubungan saya dengan NSFC untuk menamatkan kontrak, saya ada beberapa tawaran dari Liga Thailand dan Malaysia.
"Saya tak buat keputusan drastik, saya ambil keputusan untuk telefon ibu bapa dan mereka mengatakan lebih baik kekal di Liga M untuk enam bulan terakhir.
"Keputusan saya semestinya Selangor," ujarnya.
Safuwan merekodkan 12 penampilan bersama skuad bimbingan K. Devan dengan penampilan terakhirnya sebagai pemain gantian ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) di tempat lawan, 8 Julai lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram