Solusi 'off-peak' Khairulazhan, 'keeper' rebutan Perak FC bakal gugat kedudukan 3 penjaga gol


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Azri ketika sesi latihan bersama skuad KL City FC. — Facebook/KualaLumpurCity

JENDELA perpindahan pertengahan musim ini menyaksikan banyak pasukan agak aktif dalam membuat pembelian pemain bagi memperkukuhkan skuad untuk menghadapi baki saingan Liga Super 2023.

Turut tidak ketinggalan adalah pasukan yang berada di tangga kedua liga, Selangor FC yang kini difahamkan sedang mencari muka baharu bagi posisi penjaga gawang.

Setakat ini, Gergasi Merah sudah pun menandatangani dua pemain pada tempoh perpindahan pertengahan musim ini iaitu penyerang import dari Ghana, Richmond Boakye-Yiado dan tonggak pertahanan kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin.

Langkah pengurusan Selangor FC untuk aktif mencari penjaga gol baharu itu dipercayai mempunyai kaitan dengan prestasi semasa penjaga gawang utamanya pada musim ini iaitu Khairulazhan Khalid.

2148800

Sudah mencapai usia 33 tahun, Khairulazhan disifatkan sudah berada di luar kemuncak prestasinya. — Facebook/MFL

Ini kerana selain jumlah bolosnya yang agak tinggi iaitu 13 gol daripada 13 perlawanan, pemain berusia 33 tahun itu juga dilihat sudah berada luar daripada kemuncak prestasinya.

Malah, tahap persembahan anak kelahiran Kuantan, Pahang turut mendapat kritikan daripada penyokong kerana disifatkan gagal memberikan keyakinan terhadap pasukan khususnya ketika beberapa perlawanan besar menentang kelab di kelompok teratas liga.

Situasi tersebut agak membimbangkan kerana Selangor FC kini mempunyai visi bagi bersaing dengan di tahap lebih kompetitif bersama kelab gergasi tanah air yang juga pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT).

Pada masa sama, prestasi penjaga gol kedua Gergasi Merah, Samuel Somerville juga dilihat masih belum menyakinkan pengendali Tan Cheng Hoe.

WhatsApp Image 2023-07-13 at 11.47.07 PM

Samuel ketika beraksi dalam perlawanan Liga Super musim ini. — Facebook/SelangorFC

Ini kerana persembahan kurang memberangsangkan yang dipamerkan rakan seposisinya itu, Samuel yang juga bekas keeper Johor Darul Takzim masih gagal meletakkan dirinya bagi dipilih menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama pasukan.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu hanya mendapat tempat dalam kesebelasan utama dalam empat perlawanan pada musim ini berbanding Khairulazhan (13 perlawanan).

Menurut wartawan The Star, T. Avineshwaran, Selangor FC merupakan antara pasukan yang sedang cuba mendapatkan khidmat penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC bekas penjaga gol skuad B-22 tahun negara, Azri Abdul Ghani.

Bagaimanapun, Selangor FC bukan satu-satunya pasukan yang berminat dengan pemain itu kerana dia turut diintai oleh pasukan Perak FC yang kini berada di tangga ke-11 liga.

1931965

Bryan See menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan di skuad Perak FC. — Facebook/PerakFC

Mungkin bagi skuad Seladang, misi membawa Azri lebih kepada untuk memperkuatkan pasukan lantaran penjaga gol utama ketika ini, Bryan See mempamerkan aksi yang agak memberangsangkan.

Untuk rekod, Azri yang berusia 24 tahun mula mendapat kepercayaan ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak pada musim ini apabila diturunkan dalam sembilan aksi liga.

Daripada kesemua perlawanan tersebut, dia berjaya membantu KL City mendapatkan lima kemenangan dan tiga rekod tanpa bolos masing-masing ketika menentang Sabah FC, Perak FC, dan PDRM FC.

Rekod tanpa bolos tersebut adalah yang terbaik berbanding dua lagi penjaga gol skuad Warga Kota iaitu Kevin Mendoza dan Azim Amin meskipun Azri mempunyai memiliki jumlah perlawanan lebih banyak.

Sebelum menyertai KL City pada awal tahun lalu, Azri yang memiliki ketinggian 1.77 meter itu pernah bersama Perak FC, KDA FC dan Felda United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram