PERPINDAHAN secara pinjaman dari Selangor FC ke Negeri Sembilan FC (NSFC) pada musim ini merupakan satu rahmat buat penjaga gol muda negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Bukan apa, kalau diikutkan rekod 25 bolos yang dimilikinya pada musim ini ternyata tidak memberikan gambaran sebenar berkenaan prestasi cemerlang dipamerkannya yang baru berusia 20 tahun.
Ini kerana, peminat bola sepak tanah air tidak menunggu lama mengiktiraf kehebatannya apabila dia segera disamakan dengan penjaga gol utama negara, Ahmad Syihan Hazmi seawal debut pertamanya bersama skuad Jang dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2023 ketika menentang Sri Pahang FC.
Aksi tangkasnya menafikan percubaan daripada pihak lawan dilihat menjadi antara faktor yang membolehkan NSFC mengikat skuad Tok Gajah yang kini merupakan pasukan di kelompok teratas liga dengan jaringan 1-1.
Pada masa sama, prestasi cemerlang itu juga membolehkannya bukan sahaja beraksi sebagai penjaga gol utama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023, malah turut dipanggil bagi menyertai pasukan kebangsaan dalam dua kedua-dua siri perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Sikh Izhan dipinjamkan kepada NSFC dari Selangor FC pada musim ini. — Facebook/NSFC
Disebabkan itu, kehebatannya juga menyebabkan namanya mula dicanang-canang untuk kembali pulang ke kelab asalnya di Lembah Klang, Selangor FC pada musim hadapan.
Tentunya, perkara tersebut sesuatu kemungkinan yang menarik buat Sikh Izhan kerana mempunyai peluang beraksi bersama kelab teratas Liga Super.
Bagaimanapun, Majoriti menggariskan tiga sebab pemain berketinggian 1.83 meter itu perlu benar-benar memberikan pertimbangan sebaiknya sekiranya mahu mengambil pilihan tersebut:
1. Jaminan kesebelasan utama
Sikh Izhan menjadi penjaga gol utama dalam kesemua 14 perlawanan Liga Super 2023 musim ini. — Facebook/NSFC
Rekod 14 penampilan daripada 14 perlawanan Liga Super 2023 bersama NSFC membuktikan kepercayaan tinggi yang diletakkan pasukan kejurulatihan di atas bahu Sik Izhan.
Meskipun hanya mencatatkan dua perlawanan tanpa bolos, namun ketangkasannya amat ditagih khususnya dalam beberapa perlawanan penting dalam membantu pasukan memungut mata sekali gus mengelakkan skuad Jang terjerumus ke kelompok bawahan liga.
Sebagai penjaga gol muda, tempoh beberapa tahun akan datang merupakan waktu sangat penting untuknya membentuk keyakinan diri.
Oleh itu, jaminan waktu permainan diperolehi ketika bersama NSFC adalah sesuatu yang sangat diperlukan bagi memberinya ruang untuk bukan sahaja membentuk gaya permainannya, tetapi juga kematangan.
2. Keberadaan Khairulazhan dan Sommervile bersama Selangor
Sommervile (kiri) dan Khairulazhan sudah berjaya memberikan persaingan sihat di bahagian gandingan mantap di posisi penjaga gol pasukan Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
Pada waktu ini, kedua-dua penjaga gol dimiliki Selangor FC mampu untuk memegang posisi sebagai penjaga gol utama pasukan iaitu Khairulazhan Khalid dan Samuel Somerville.
Ini terbukti apabila sejak empat musim lalu, barisan kejurulatihan skuad Gergasi Merah tidak mempunyai masalah untuk menggunakan kedua-duanya sebagai penjaga gol utama.
Pada masa sama, gandingan Khairulazhan, 33 dan Sommerville,28 tersebut juga dilihat sudah membina keserasian kukuh bersama-sama dan membina persaingan yang sihat antara satu sama lain.
Dengan usia yang masih muda, persaingan bersama dua penjaga gol yang sudah berada di usia yang mencapai kematangan yang optimum itu pastinya memberikan tekanan yang tidak sepatutnya kepada Sikh Izhan.
Pada masa sama, Sikh Izhan yang juga Produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu juga tidak perlu terburu-buru kerana dia dilihat memerlukan sekurang-kurangnya lebih daripada satu musim beraksi di liga kompetitif untuk mematangkan corak permainannya.
3. Berada di bawah jurulatih berpengalaman
Sikh (kanan) turut mengakui Megat banyak membantu membentuk kariernya pada waktu ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Sementara itu, beraksi bersama pasukan NSFC secara langsung membolehkannya terus berada di bawah tunjuk ajar jurulatih penjaga gol pasukan, Megat Amir Faisal Al Khalidi Ibrahim.
Individu tersebut cukup dikenali dengan pendekatan latihan yang cukup tegas memandangkan dia mahu anak-anak buahnya beraksi dengan cukup bersemangat.
Ia dapat dibuktikan apabila skuad Jang mampu melahirkan ramai penjaga gol berkualiti beberapa tahun kebelakangan ini hasil daripada air tangannya seperti Syihan yang kini merupakan penjaga gol utama di kelab gergasi bola sepak tanah ai Johor Darul Takzim (JDT).
Oleh itu, dengan kehadiran Megat Amir, Sikh Izhan mempunyai satu kelebihan yang cukup dicemburui penjaga gawang di pasukan-pasukan lain apabila dia boleh menimba ilmu bersama jurulatih tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram