SEBAGAI penyerang, mencetak gol merupakan misi penting dalam setiap perlawanan bola sepak. Selain daripada memberi kemenangan kepada pasukan, ia merupakan cara pemain itu menempa nama dalam industri tersebut.
Lagi banyak gol yang diledakkan, lagi tinggi nilai pemain tersebut dalam arena bola sepak tempatan dan luar negara.
Menariknya, pelbagai gaya dan versi berjaya dilakukan oleh ramai pemain untuk menjaringkan gol.
Setiap pemain juga mempunyai gaya sendiri untuk menikmati jaringan yang dilakukan. Ada yang membuat luncuran, tabik hormat dan sebagainya.
1. Arif Aiman Hanapi
Gaya 'easy peasy' Arif Aiman. — Facebook/JohorSouthernTigers
Pada pusingan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC, tonggak sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencetak hatrik dan jaringan sensasinya itu membuatkan ramai penyokong menganggapnya sebagai legenda dalam pembikinan.
Selain persembahan berkelas dunia dari pemain muda itu, nama Arif Aiman juga mencuri tumpuan menerusi gaya meraikan jaringan gol pada ledakan pertamanya ketika menumpaskan Gergasi Merah.
Arif Aiman membuat gaya 'easy peasy' yang seolah-olah memberi maksud dengan kemahiran dipelajari di JDT itu, dia tidak memerlukan masa lama untuk menewaskan kubu pertahanan Gergasi Merah dan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.
2. Safawi Rasid
Safawi Rasid meraikan jaringan ketiga Harimau Malaya ketika pasukannya membelasah Kepulauan Solomon. —Facebook/FAM
Gaya penyerang kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringan ketiga Harimau Malaya ketika pasukannya membelasah Kepulauan Solomon 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu baru-baru sebenarnya ditujukan kepada isterinya, Syifa Melvin yang kini berbadan dua.
Pemain berusia 26 tahun berkenaan itu meraikan gol berkenaan dengan meletakkan bola ke dalam jersi yang dipakai. Selain Safawi, Shahrel Fikri iaitu peledak Negeri Sembilan FC antara yang meraikan gol dengan gaya sedemikian.
3.Saddil Ramdani dan Rizal Ghazali
Saddil dan Rizal tak ambil pusing kritikan serta komen negatif daripada penyokong. — Facebook/SabahFC
Gaya meraikan jaringan gol menutup telinga sebahagian pemain Sabah FC ketika menentang Kelantan United FC (KUFC) menjadi bualan penyokong.
Malah, tindakan pemain-pemain tersebut terutamanya Saddil Ramdani dan Rizal Ghazali menimbulkan tanda tanya penyokong.
Menerusi komen daripada warga maya, gaya tersebut membawa maksud kedua-dua pemain berkenaan tidak mengendahkan komen-komen negatif daripada penyokong.
Hal ini kerana, baru-baru ini Saddil menerima kritikan pedas daripada penyokong Indonesia yang membandingkan prestasinya apabila beraksi di kelab dan pasukan kebangsaan.
Sementara itu, Rizal pula terpalit kontroversi dengan bekas teman wanitanya, Hani Farhana Hasrul Sani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram