KEKALAHAN besar 4-0 yang dialami ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Isnin lalu memberikan tamparan hebat kepada pasukan Selangor FC.
Ini kerana sebagai pasukan kedua terbaik di Liga Super 2023 ketika ini, Gergasi Merah diharapkan supaya dapat sekurang-kurangnya memberikan saingan sengit kepada skuad Harimau Selatan pada perlawanan tersebut.
Namun, skrip sama nampaknya terus dipamerkan Selangor FC seperti ketika aksi pusingan pertama Liga pada 17 Mac lalu yang menyaksikan pasukan tewas dengan jumlah jaringan yang sama.
Apa yang berbeza dalam perlawanan baru-baru ini adalah skuad Gergasi Lembah Klang itu berjaya ditembusi bertubi-tubi seawal separuh masa pertama perlawanan menerusi jaringan hatrik bintang sensasi negara Arif Aiman Hanapi masing-masing pada minit ke 20, 33 dan 38 sebelum jaringan Fernando Forestieri pada minit ke-47.
Dalam aksi pusingan pertama liga sebelum ini, JDT mengambil masa untuk memecahkan kebuntuan apabila skuad Harimau Selatan hanya berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-55 menerusi pemain import tengahnya iaitu Juan Muniz.
Diogo Luis Santo dengan satu gol dan Fernando Forestieri (dua gol) masing-masing kemudiannya melengkapkan kemenangan 4-0 JDT ke atas Selangor FC dalam aksi berkenaan.
Arif Aiman(kanan) berjaya meledak hatrik ketika bertemu Selangor FC pada Isnin lalu. — Facebook/SelangorFC
Meskipun diakui bahawa Selangor FC masih mampu menghadirkan ancaman kepada JDT dalam kedua-dua aksi tersebut, namun Gergasi Merah dilihat masih berhadapan kesukaran untuk mendominasi perlawanan.
Pada masa sama, skuad JDT juga menampilkan kualiti pemain yang lebih baik hampir di kesemua posisi.
Sehubungan itu, Majoriti menggariskan tiga penyelesaian jangka panjang perlu dilakukan Selangor F bagi membolehkannya menjadi pencabar lebih baik bersama skuad Harimau Selatan di takhta Liga Malaysia (M).
1) Dapatkan pengganti Khairulazhan
Khairulazhan ketika sesi latihan bersama pasukan. — Facebook/SelangorFC
Bagi pasukan yang mahu bersaing di peringkat tertinggi, pemilihan penjaga gol yang tepat merupakan aspek terpenting yang perlu diambil kira.
Penjaga gol yang diletakkan di barisan terakhir pertahanan perlu bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga berada di fasa terbaik perkembangan prestasi kariernya
Pada musim ini, Selangor FC dilihat meletakkan Khairulazhan Khalid sebagai penjaga gol utama mereka.
Dengan usia yang sudah mencecah 33 tahun, penjaga gol yang sudah bersama Gergasi Merah sejak 2015 itu dilihat sudah melepasi kemuncak kariernya.
Dengan Selangor FC dilihat menyasarkan untuk menjadi pencabar utama liga dalam tempoh beberapa tahun akan datang, pencarian pengganti kepada Khairulazhan seharusnya sudah dimulakan.
Penjaga gol gantian diperlukan Selangor bukan sahaja mesti berada pada umur yang sudah matang daripada segi permainannya, tetapi juga perlu bersedia bagi bertindak sebagai penjaga gol utama sepanjang musim.
2) Kukuhkan barisan pertahanan
Sharul (kanan) menjadi antara tonggak pertahanan Selangor FC yang prestasinya menerima kritikan daripada penyokong. — Facebook/SelangorFC
Berbanding dengan pasukan lain di Liga M, rekod pertahanan Selangor masih boleh dikategorikan sebagai antara yang terbaik apabila hanya sekadar bolos 15 gol daripada 14 perlawanan.
Hanya Sri Pahang FC yang berada di kedudukan ketiga liga memiliki catatan lebih baik dari segi bolos iaitu dengan 14 jaringan.
Namun begitu, rekod tersebut dilihat masih jauh ketinggalan dengan JDT yang hanya bolos dua gol sepanjang aksi liga.
Disebabkan itu, barisan kejurulatihan Selangor FC dilihat tidak boleh berpuas hati dengan prestasi dipamerkan oleh barisan pertahanan pasukan.
Buat waktu ini, antara yang mendapat kritikan adalah keputusan Cheng Hoe untuk terus meletakkan Sharul Nazeem Zulpakar atau lebih dikenali dengan nama Afro sebagai gandingan utama bersama tonggak importnya, Yazan Al-Arab.
Ini kerana Sharul dilihat ada kalanya tidak begitu konsisten dengan membuat kesilapan mudah yang sering kali membahayakan pintu gol pasukan.
Pada masa sama, barisan pertahanan Selangor FC juga dilihat masih belum stabil dengan Cheng Hoe didapati kerap membuat pertukaran pemain posisi bek kiri dan kanan.
Cheng Hoe dilihat memiliki dua set pemain yang ditukar-tukar di posisis berkenaan dengan Fazly Mazlan dan Harith Haiqal di bek kiri dan Quentin Cheng serta Zikri Khalili di bek kanan.
Pada masa sama, Gergasi Merah juga dilihat masih tidak menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada pemain pertahanan baharu yang ditandatangani pada musim ini iaitu bek tengah kebangsaan Khuzaimi Piee dan bek kiri, V Ruventhiran.
3) Tarik pemain warisan, naturalisasi
Brendan Gan (kanan) merupakan antara pemain warisan dimiliki Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
Dalam pada itu, untuk bersaing dengan JDT, Selangor FC juga harus mempertimbangkan untuk merekrut pemain berstatus warisan atau naturalisasi ke dalam pasukan.
Tidak boleh dinafikan, JDT merupakan antara pasukan paling aktif menandatangani pemain berstatus warisan mahupun naturalisasi untuk memperkuatkan pasukan.
Malah sejak beberapa musim lalu, beberapa posisi penting JDT dilihat diisi oleh pemain dengan status tersebut.
Ia antaranya Corbin Ong di posisi pertahanan kiri; Matthew Davies (pertahanan kanan); Endrick Dos Santos, Hong Wan serta Natxo Insa (tengah) dan Mohamadou Sumareh (sayap kanan).
Pada waktu ini, Selangor hanya mempunyai dua pemain warisan iaitu Brenda Gan dan juga penjaga gol keduanya iaitu Samuel Somerville.
Selain daripada mempertimbangkan bagi mengintai beberapa pemain warisan yang kini menunjukkan kecenderungan untuk pulang beraksi ke Malaysia, Selangor FC juga boleh melihat kepada beberapa pemain naturalisasi lain yang kini beraksi di Liga M.
Kehadiran pemain berstatus naturalisasi dan warisan terutamanya yang memiliki pengalaman beraksi di liga luar penting kerana kumpulan tersebut lazimnya mempunyai prestasi, kemahiran dan pengalaman lebih tinggi berbanding pemain tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram