KEKALAHAN mengecewakan yang dialami Selangor FC kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi separuh akhir Piala FA meraih respons pelbagai daripada penyokong bola sepak tanah air.
Meskipun memulakan aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor dengan baik, ketajaman jentera serangan, terutamanya daripada Arif Aiman Hanapi mudah menghukum kelalaian kelab Lembah Klang itu sendiri.
Namun, bagi penyokong skuad Gergasi Merah, keputusan 0-4 yang dialami tersebut berpunca daripada kesilapan dua pemain, Khairulazhan Khalid dan Quentin Cheng.
Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan kedua-dua tonggak pasukan itu membolehkan JDT mudah menempah tiket ke peringkat akhir Piala FA untuk tahun kedua berturut-turut.
Jadi, tidak hairanlah apabila ruangan media sosial dibanjiri dengan kritikan-kritikan 'pedas' yang ditujukan ke arah mereka sejurus wisel penamat ditiupkan.
Khairulazhan menerima kritikan bertubi-tubi selepas disingkirkan JDT dalam aksi separuh akhir Piala FA. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, bagi Khairulazhan, dia enggan membisu akan keputusan yang dialami pada Isnin malam memandangkan aksi terbabit mempunyai signifikan tersendiri buatnya.
Ia adalah kerana pertembungan dengan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu merupakan penampilan ke-150 buatnya sejak menyertai Selangor FC pada 2016.
Menerusi satu hantaran di InstaStory miliknya, penjaga gawang yang juga dikenali sebagai Yan itu berkata, pelbagai momen sudah ditempuhinya sepanjang kira-kira tujuh tahun bersama skuad Gergasi Merah.
"Ada pahit, ada manis. Ada suka, ada duka dalam 150 perlawanan aku bermain untuk Selangor FC, Aku sangat menghargai saat-saat ini.
"Terima kasih Selangor FC, akan aku simpan pengalaman ini sepanjang aku bermain. Aku tak akan berhenti korbankan jiwa aku untuk pasukan yang aku sayang," tulisnya.
Mesej yang diberikan Khairulazhan menerima perhatian ramai pihak.
Sebelum berhijrah untuk menyertai skuad Gergasi Merah, Khairulazhan memulakan kariernya di negeri kelahirannya bersama skuad belia Pahang FA.
Dia kemudiannya mencuri perhatian ramai dengan ketangkasan dalam membantu skuad Tok Gajah meraih pelbagai kejuaraan, termasuk dua gelaran Piala Malaysia berturut-turut.
Bakatnya tersebut juga menerima pengiktirafan tersendiri apabila dia dinamakan sebagai Pemain Paling Bernilai dan Penjaga Gol Terbaik pada 2014.
Musim ini, Khairulazhan kembali diberikan kepercayaan penuh daripada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dengan empat 'clean sheets' sudah dicatatkan dalam 13 penampilan Liga Super.
"Untuk perlawanan menentang JDT, aku dah bagi yang terbaik untuk pasukan. Kalau ada salah, ia datang daripada aku, yang baik datang daripada ALLAH," tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram