SETAKAT 16 perlawanan Liga Super, Shahrul Saad hanya diturunkan sebanyak enam kali dengan kesemua daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.
Hal tersebut terus menjadi bahan bualan penyokong bola sepak tempatan memandangkan pemain berusia 30 tahun berkenaan masih memiliki kualiti untuk membarisi mana-mana pasukan Liga Super.
Selain mempunyai susuk tubuh yang sesuai untuk mengukuhkan benteng pertahanan, Shahrul yang juga dikenali sebagai Badak memiliki pengalaman cukup mendalam dalam arena bola sepak tempatan.
Selepas memulakan kariernya dengan Felda United pada 2015, bek tengah itu terus menunjukkan peningkatan mendadak sebelum menyertai Perak FC setahun kemudian.
Di situ, pemain berkenaan terus menempa nama dalam kalangan penyokong dengan orang ramai terus melabelnya sebagai antara pertahanan terbaik negara.
Reputasi berkenaan diteruskan sehingga dia diberikan peranan sebagai kapten skuad The Bos Gaurus (TBG) sebelum memilih untuk berhijrah ekoran masalah kewangan yang melanda kelab itu.
Kemuncak karier Shahrul (kiri) adalah ketika dia bersama Perak FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Meskipun dilaporkan beberapa kelab berminat untuk mendapatkan khidmatnya, Shahrul memilih untuk menyertai jaguh Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada 2021.
Dia pada awalnya menampilkan aksi-aksi terbaik bersama skuad Harimau Selatan, namun kelibatnya semakin malap dengan kehadiran bek tengah muda, Feroz Baharudin.
Perkara tersebut berlanjutan sehingga pertengahan musim ini apabila dia tidak lagi berada dalam kesebelasan utama dengan ketua jurulatih, Esteban Solari dirasakan seperti kurang menggemari khidmatnya.
Namun, pada jendela perpindahan yang lalu, timbul khabar angin mengatakan pemain lasak tersebut akan kembali ke pangkuan skuad TBG.
Perkara itu bagaimanapun gagal direalisasikan dengan persetujuan tidak dapat dicapai kedua-dua pasukan meskipun desakan terus diluahkan penyokong Perak FC.
Tetapi, melihat kepada rekod pertahanan pasukan Utara tanah air itu musim ini, kepulangan Shahrul cukup didambakan bagi mengukuhkan lagi benteng pertahanan mereka.
Bagaimanapun, selepas jendela perpindahan dibuka untuk dua minggu, tiada perkembangan lanjut dikongsikan kedua-dua pihak mengenai ura-ura terbabit.
Hal tersebut menimbulkan persoalan yang bertanya mengenai impak meluas sekiranya bek kental itu memilih untuk kekal di JDT berbanding mencari angin baharu.
Berikutan merupakan tiga kesan yang dapat disenaraikan Majoriti berdasarkan cakap-cakap penyokong andai kata Badak mengambil keputusan meneruskan perjuangannya bersama juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
1. Persembahan merosot
Umum mengetahui bahawa seorang pemain bola sepak perlu diberikan minit permainan yang mencukupi sekiranya mereka mahu beraksi di tahap terbaik setiap kali diturunkan.
Meskipun mereka diberikan penekanan serta pendedahan dalam sesi latihan, ia tidak boleh dibandingkan dengan masa yang diberikan dalam perlawanan sebenar.
Shahrul berada di situasi seperti itu dengan dia hanya diturunkan sebagai pemain pinjaman dengan satu-satunya perlawanan pemain berkenaan berada dalam kesebelasan utama adalah dalam aksi Piala FA.
Badak hanya diturunkan sebanyak enam kali dalam kancah Liga Super musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ia dapat disaksikan ketika pemain terbabit mewakili pasukan kebangsaan dalam aksi antara skuad Harimau Malaya dengan Kepulauan Solomon yang mana dia gagal berkomunikasi dengan Feroz.
Hal tersebut pastinya akan memberi kesan jangka masa panjang buat Shahrul memandangkan pemain berkenaan mempunyai tahun permainan yang masih panjang.
Bagaimanapun, isu berkenaan seperti tidak diendahkan pertahanan itu apabila dia pasti menyedari bahawa khidmatnya dalam skuad Harimau Selatan semakin tidak lagi diharapkan.
2. Kehilangan bek tengah berpengalaman dalam skuad Harimau Malaya
Ketika ini, ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon kerap meletakkan Dominic Tan dan Dion Cools sebagai pilihan utama dengan Shahrul juga kerap diberikan kepercayaan.
Pilihan berkenaan dilihat amat terhad apabila Harimau Malaya sudah kehilangan beberapa pemain dengan Khuziami Piee, Sharul Nazeem Zulpakar serta Irfan Zakaria seperti sudah hilang dalam bayang-bayang sendiri.
Kekurangan itu hanya akan menyukarkan jurulatih terbabit dalam mempersiapkan pasukan menjelang kempen Piala Asia yang akan berlangsung kira-kira enam bulan lagi.
Adakah Shahrul akan disisihkan daripada skuad untuk Piala Asia 2023?
Sekiranya Shahrul semakin kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama JDT, ia hanya akan menyulitkan lagi keadaan buat Pan-gon untuk kejohanan berkenaan.
Untuk menyelesaikan isu terbabit, pemain itu perlu bertindak segera dengan mencari majikan baharu sementara jendela perpindahan Liga Super dibuka.
Namun, dengan Badak seperti bertegas untuk kekal, Pan-gon perlu melakukan perjudian dengan menaruh kepercayaan terhadap pemain terbabit meskipun dia lebih kerap memanaskan bangku simpanan.
3. Menyekat peluang pemain muda
JDT sememangnya cukup sinonim sebagai salah sebuah pasukan tempatan yang sering memberikan peluang terhadap pemain muda, seperti Feroz dan Arif Aiman Hanapi.
Ia boleh dianggap sebagai tulang belakang terhadap kejayaan skuad Harimau Selatan dengan kedua-dua pemain itu sering diberikan peluang untuk berada dalam kesebelasan utama.
Namun, sejak kebelakangan ini, pasukan Selatan tanah air itu terus buntu untuk menurunkan pemain muda melihat kepada lambakan pemain berkualiti yang dimiliki.
Feroz merupakan salah seorang produk terbaik daripada akademi JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Hal tersebut boleh dianggap sebagai salah satu cabaran yang perlu ditempui ubi-ubi muda walaupun masing-masing sudah mempamerkan bakat dalam saingan Piala MFL.
Jadi, sekiranya JDT mahu menaikkan pangkat pelapis yang kini beraksi dalam skuad belia, Shahrul boleh dianggap sebagai 'korban' utama daripada pihak pengurusan.
Tetapi, sekiranya skuad Harimau Selatan masih berhasrat untuk menggunakan pengalaman Badak untuk membimbing pemain muda, ia pastinya tidak memberi kesan terhadap mana-mana pihak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram