Akmal Rizal kongsi cabaran beraksi di luar negara, beri pandangan hal Arif Aiman ke luar negara


  • Podium
  • Khamis, 13 Jul 2023

Akmal Rizal kini dilantik sebagai ketua jurulatih buat pasukan belia Penang FC sejak beberapa musim lalu. — Facebook/Penang FC

KUALITI yang dimiliki pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi sememangnya tidak boleh dinafikan rata-rata penyokong bola sepak tanah air.

Dalam saingan Liga Super sahaja, pemain muda itu sudah menjaringkan enam gol di samping mencatatkan 10 bantuan jaringan sepanjang 16 kali diturunkan.

Sumbangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan menduduki tangga teratas dengan rekod 100 peratus selepas memenangi kesemua perlawanan.

Malah, bakatnya juga terserlah ketika mewakili pasukan kebangsaan, lebih-lebih lagi ketika dia menjaringkan empat gol dalam kemenangan 10-0 negara ke atas Papua New Guniea.

Rentetan daripada prestasi memberangsangkan itu, timbul persepsi daripada orang ramai yang mengatakan Arif Aiman perlu mengubah angin dalam kariernya.

1885283

Arif Aiman disarankan untuk mengembangkan bakatnya di luar negara. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Melihat kepada kualiti Liga Super ketika ini, terdapat saranan buat pemain kelahiran Pahang itu agar berhijrah ke luar negara untuk menyertai mana-mana pasukan di sekitar Asia.

Kelab di Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi menjadi antara yang dipetik memandangkan terdapatnya jurang besar dari segi mutu serta persaingan di luar negara.

Pandangan berkenaan turut dikongsikan beberapa legenda bola sepak negara, termasuk bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, K Rajagobal serta pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim.

Tidak cukup dengan itu, bekas penyerang negara, Safee Sali turut berasakan sedemikian dengan menyebut liga-liga di Timur Tengah sesuai untuk mempamerkan bakatnya.

Namun, pandangan terbabit tidak dikongsikan beberapa pihak yang berpendapat Arif Aiman lebih sesuai untuk mengembangkan lagi bakatnya dalam liga tempatan.

Ketua jurulatih skuad Piala MFL Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli merupakan antara yang berkongsi perasaan itu memandangkan dia juga pernah beraksi di luar negara.

jersi gueugnon

Keratan akhbar memaparkan Akmal Rizal semasa berada di Perancis.

"Kalau kelab yang besar, bagus untuk Arif main di luar. Kalau setakat kelab kecil, saya rasa tak perlu sebab dia dah berada di satu tahap yang lain berbanding pemain-pemain lain di Malaysia sekarang.

"Mungkin kelab-kelab di liga utama seperti di Eropah atau kelab divisyen 1 di Korea Selatan, Jepun atau Arab Saudi bagus untuk dia," katanya kepada Majoriti.

Dalam kariernya, Akmal pernah menimba pengalaman di Perancis bersama RC Strasbourg sebelum dipinjamkan ke sebuah pasukan amataur, FCSR Haguenau yang mana dia bermain untuk tiga musim.

Bagaimanapun, kariernya di Eropah tidak berpanjangan apabila dia memilih untuk kembali ke Kedah pada 2002 sebelum berpindah randah dalam beberapa pasukan Liga Super.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 41 tahun tersebut turut berkongsi bahawa terdapat beberapa cabaran yang perlu ditempuhi mana-mana pemain yang mencuba nasib ke luar negara.

"Cabaran dari segi bahasa, budaya dan penerimaan pemain-pemain luar. Tetapi, kalau kebolehan Arif setanding dengan pemain-pemain di kelab sana, jurulatih pasti akan beri tumpuan dan kepercayaan yang sama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram