NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
SEPERTI pasukan lain, Selangor FC juga tidak terkecuali daripada kehilangan pemain utama, sama ada disebabkan kecederaan atau penggantungan. Lazimnya, dalam keadaan sedemikian, pemain serba boleh akan menjadi kelebihan untuk menutup sebarang kelompangan.
Mengakui pasukannya masih jauh daripada lengkap serba-serbi untuk dibandingkan dengan barisan seperti Johor Darul Takzim (JDT) yang memiliki kedalaman skuad, ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, berkata usaha penambahbaikan perlu dilakukan secara berterusan.
“Ia sentiasa lebih baik untuk mendapat seorang tonggak tambahan daripada kehilangan seorang tenaga penting dalam pasukan,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.
“Mengambil kira keperluan itu, ketibaan Safuwan (Baharudin) yang bukan saja banyak pengalaman tapi boleh memikul peranan berbea-beza daripada pertahanan, tengah mahupun serangan, dia tentunya dialu-alukan.”
Majoriti pada Khamis melaporkan Safuwan, 31, akan menyertai Selangor FC selepas kontraknya bersama skuad Jang hanya diikat sehingga pertengahan musim ini. Perkara itu dikongsikan menerusi kenyataan laman web rasmi Negeri Sembilan FC yang mengucapkan selamat tinggal kepada pemain berkenaan.
Dengan penyertaan pemain import dari Singapura itu yang akan mengisi kuota Asean, skuad Gergasi Merah memiliki pemain versatil dan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada peningkatan pasukan.
Mampu beraksi di dua posisi berbeza, Safuwan, yang akan mengenakan jersi bernombor 21, boleh berperanan sebagai pemain tengah dan pertahanan, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan buat barisan kejurulatihan dalam merancang taktik terbaik.
Gergasi Merah yang kini kehilangan pertahanan tengah, Yazan Al-Arab, gara-gara kecederaan berpeluang untuk mendapatkan pengganti bagi posisi itu, dengan Safuwan dikatakan calon terbaik untuk bergandingan dengan Quentin Cheng dan Fazly Mazlan di bahagian kanan dan kiri pasukan.
Dalam pada itu, skuad Selangor juga akan memiliki kelebihan daripada segi gandingan baharu yang bakal diperoleh dengan pemain import berketinggian 1.81 meter itu berpotensi untuk diletakkan di posisi tengah bersama Mukhairi Ajmal Mahadi.
Dengan hantaran tepat serta kawalan bola kemas yang menjadi antara skil mahalnya, Selangor dijangka mempertaruhkan Safuwan dalam kesebelasan utama perlawanan akan datang, dimulai dengan berhadapan Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.
Safuwan sah kembali semula ke Selangor. — Facebook/Selangor FC
Kepulangan Safuwan, yang sebelumnya bersama Selangor dari 2020-2022, harus pada waktu yang paling tepat ketika Gergasi Merah bersiap-siap menghadapi tiga lawan sukar – termasuk Sabah FC pada 23 Julai dan JDT berselang enam hari.
“Pertahanan kami tidak stabil sedikit ketika ini dengan Yazan masih memerlukan rawatan untuk satu perlawanan terdekat ini. Safuwan akan menambah pilihan yang ada selain meningkatkan perebutan tempat dalam kesebelasan pertama,” kata Cheng Hoe.
Richmond Ankrah, Quentin Cheng, Khuzaimi Piee, Zikri Khalili, Fazly Mazlan, Sharul Nazeem Zulpakar dan Harith Haiqal Adam Afkar tidak boleh berasakan tempat masing-masing di benteng pertahanan sudah terjamin.
Dalam pada itu, Safuwan belum disahkan tempatnya untuk berdepan Penang FC kerana bergantung kepada tahap pemulihannya daripada kecederaan betis di sebalik turut beraksi sebagai pemain gantian ketika NSFC tewas 0-2 kepada JDT di Iskandar Puteri, Johor, 8 Julai lalu.
“Tiga perlawanan berikut ini akan menjadi ujian kepada kekuatan mental pemain-pemain untuk bangkit semula (selepas tumpas 0-1 kepada Sri Pahang FC di Kuantan pada 9 Julai). Adalah penting untuk setiap pemain memberi fokus sepenuhnya.
“Pemain-pemain nyata kecewa kerana tidak memanfaatkan peluang dalam separuh pertama menentang Sri Pahang. Tapi mereka sudah melupakannya dan mahu menumpukan kepada perlawanan mendatang.
“Berdepan Penang FC, kami perlu gunakan kelebihan di tempat sendiri untuk menambah pungutan mata ,” kata jurulatih itu yang tidak pun perlu diingatkan kedudukan mereka di tangga kedua hanya dibezakan perbezaan jaringan dengan Sri Pahang FC sambil Kedah FC mengekori rapat dengan jurang tiga mata.
Boakye antara import baharu yang sertai Selangor menjelang jendela perpindahan kedua. — Facebook/Selangor FC
Cheng Hoe juga tidak terlalu terdesak dengan penyerang import baru, Richmond Boakye-Yiadom, yang dilihat masih berhempas-pulas untuk menyesuaikan diri sepanjang kira-kira 26 minit diturunkan dalam perlawanan pengenalannya di Kuantan.
“Dia terlepas dua peluang dalam masa singkat itu tapi kehadirannya tetap dirasai. Boakye harus semakin tajam dengan peluang beraksi dalam beberapa perlawanan lagi,” ujarnya.
Di sebalik berjurang 15 mata dan dibezakan tujuh anak tangga dalam carta liga, Cheng Hoe mengingatkan pemain-pemainnya yang mereka akan menempa masalah andai mereka memandang rendah skuad Harimau Kumbang pada Sabtu.
Katanya, walaupun ketua jurulatih interim pasukan lawan itu, Manzoor Azwira Wahid, mengatakan mereka tidak memiliki ramai pemain berkualiti, keputusan tiga perlawanan terakhirnya – 4-3 ke atas Kelantan FC selain seri 1-1 masing-masing dengan Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC – menunjukkan lawan tidak boleh dipermudahkan.
“Mereka konsisten dan pemain-pemainnya rajin membuat larian sepanjang perlawanan. Lagipun, pasukan-pasukan yang berdepan dengan Selangor akan meningkatkan permainan mereka sebagai satu motivasi, Penang FC juga tidak berbeza,” katanya lagi.
Cuma, berbeza dengan keputusan 1-2 di pihak Selangor FC dalam pusingan pertama liga pada 12 Mac lalu, skuad The Panthers itu tidak hanya perlu menangani ancaman Boakye yang mahu membuktikan nilai sebenarnya.
Mereka tentunya tidak boleh terlepas pandang terhadap Safuwan, yang boleh mengelirukan dengan imej bergandanya, baik di pertahanan mahupun serangan, terutama dalam situasi bola pegun, sebagai “Joker” dalam dek daun terup Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram