Kim Swee: Sabah FC perlu terus bangkit, tinggalkan episod derita


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jul 2023

Kim Swee mengakui tempoh rehat liga untuk memberi laluan kepada kalendar antarabangsa FIFA sesudah itu seperti memberi ‘nyawa kedua’ buat The Rhinos. — Facebook/SabahFC

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

PANGGIL ia apa saja daripada rentetan prestasi merudum, badi bermain di tempat lawan hingga kepada episod derita, Datuk Ong Kim Swee seboleh-bolehnya enggan lagi mengharungi tempoh getir seperti itu.

Hasrat untuk membuka “buku baru” lebih awal buat Sabah FC sebelum pusingan kedua liga bermula lenyap, sebaliknya menyingkap halaman-halaman gelap sepanjang 12 hari yang ternyata amat meresahkan seperti diakui ketua jurulatih itu.

“Segala-galanya seperti tidak memihak kepada kami ketika itu. Tiada apa yang nampak cantik, baik daripada segi keputusan, prestasi mahupun masalah kecederaan yang berpanjangan dalam pasukan,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.

Semuanya bermula dengan kekalahan 1-2 kepada Kuala Lumpur City (KLC) FC dalam suku akhir Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 28 Mei yang meleburkan rekod kebal kebanggaan mereka di gelanggang sendiri.

WhatsApp Image 2023-07-01 at 20.17.17

Sabah tewas 1-2 di tangan KL City pada 28 Mei lalu. — Facebook/MFL

Seakan-akan mengesahkan kebimbangan Kim Swee setiap kali membuat perjalanan ke Semenanjung, skuad Sang Badak itu tewas 1-2 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar pada 2 Jun di sebalik mendahului seawal minit kelapan menerusi gol Gabriel Peres.

Berselang enam hari, sebarang harapan mereka untuk pulang berbekalkan sekurang-kurangnya tiga mata turut lebur kepada jaringan Ahmad Nabil Latpi ketika tewas 0-1 kepada PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ia mengulangi satu lagi episod derita sebelum itu apabila mereka hanya mampu membawa pulang satu mata ketika berkunjung dalam deretan perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT), KLC FC dan Negeri Sembilan FC di antara 31 Mac dan 10 April lalu.

Dari berkedudukan ketiga dalam carta, dua kekalahan itu terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila enam mata yang keciciran menyaksikan Sabah FC melurut ke tangga kelima selepas dipintas Sri Pahang FC dan KDA FC.

“Saya benar-benar bimbang ketika itu kerana pasukan kami semakin tergelincir. Kami terdesak untuk mengembalikan rentak permainan kami,” katanya.

WhatsApp Image 2023-07-01 at 20.17.16-2

Antara aksi pemain Sabah ketika tewas 0-1 kepada PDRM FC di MBPJ. — Facebook/SabahFC

Kim Swee mengakui tempoh rehat liga untuk memberi laluan kepada kalendar antarabangsa FIFA sesudah itu seperti memberi ‘nyawa kedua’ buat pasukannya untuk mereka merenung ke dalam diri mereka sendiri dan membaharui tekad terhadap apa yang perlu dilakukan.

Kembalinya skuad The Rhinos itu pada 26 Jun membawa bersama azam dan iltizam berbeza ketika mereka menjadikan Kelantan United mangsa dalam kemenangan 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu apabila Saddil Ramdani, Stuart Wilkin dan Baddrol Bakhtiar mencatat nama dalam senarai penjaring.

Kemenangan itu diharapkan ketua jurulatih berkenaan sebagai titik peralihan untuk meneruskan pendakian, tambahan dengan penyertaan dua tenaga import baru, Ramon Machado dan Miguel Cifuentes, apabila jendela perpindahan kedua dibuka pada 5 Julai.

Cifuentes, 32, atau panggilan ringkasnya Cifu diumumkan menyertai Sabah FC pada awal Jun di sebalik sebelumnya diura-urakan akan membawa diri ke PDRM FC, yang ketika itu bergolak susulan keputusan pengurusan merehatkan ketua jurulatih, Azzmi Aziz, tanpa memberi sebarang alasan.

Dianggap antara pemain terbaik dimiliki Kelantan FC, yang turut dibebani masalah dalamannya sendiri, Cifu harus menjadi aset kerana mampu beraksi di beberapa posisi, antaranya pertahanan kanan, sayap kanan dan juga pemain tengah.

WhatsApp Image 2023-07-01 at 20.17.16

Saddil, Stuart dan Baddrol mencatat nama dalam senarai penjaring. — Facebook/SabahFC

Ketibaannya menambah lagi pilihan pemain serba boleh dalam barisan Sabah FC yang diperkuat oleh Jafri Firdaus Chew dan pemain import dari Korea Selatan, Ko Kwang-Min -- dua lagi pemain yang berkeupayaan di bahagian pertahanan dan serangan.

Machado, 32, pula menjadi pilihan kerana pengalamannya dalam Liga Azerbaijan, yang menyaksikannya merekodkan 10 gol dan empat bantuan jaringan daripada 32 penampilannya bersama Gabala FC.

“Cifu telah menyertai latihan lebih dua minggu, Ramon pula sejak kira-kira seminggu lalu. Saya tidak akan mengerah mereka kerana kedua-duanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam pasukan baru.

“Daripada kedua-duanya, Cifu memiliki sedikit kelebihan kerana beraksi dalam liga yang sama dan pernah berdepan pasukan lawan yang sama. Ramon, saya tidak bimbang, kerana dia beraksi dalam Liga Azerbaijan sehingga awal bulan ini,” kata Kim Swee.

WhatsApp Image 2023-07-01 at 20.17.15-3

Cifu dan Ramon merupakan pemain import baharu The Rhinos. — Facebook/SabahFC

Dengan Saddil baru pulih manakala Darren Lok masih merawat kecederaan, tambahan dua pemain berkenaan dialu-alukan sebagai menambah pilihan, terutama di barisan serangan yang memerlukan lebih kuasa ledakan.

Sama ada kehadiran mereka cukup untuk melengkapkan keperluan pasukan, Kim Swee memilih untuk mengambil sikap tunggu dan lihat kerana kebanyakan pasukan lain turut memanfaatkan jendela perpindahan untuk membawa masuk tenaga baru.

“Harapan saya ialah Cifu dan Ramon dapat memberi impak kepada pasukan, termasuk menutup kelompongan yang ada sebelumnya.

“Sebagai sebuah pasukan, kami perlu terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi kerana ia bukan satu pilihan buat kami untuk tidak melakukan apa-apa dengan jangkaan bahawa tidak akan ada lagi perlawanan yang mudah selepas ini,” katanya.

WhatsApp Image 2023-07-01 at 20.17.15-2

Sabah selepas ini akan melayan kunjungan The Cats pada 8 Julai nanti. — Facebook/SabahFC

Dijadualkan untuk turun dalam dua perlawanan di tempat sendiri menentang Kuching City FC (8 Julai) dan Sri Pahang FC (15 Julai) dan seterusnya berkunjung ke gelanggang Penang FC (30 Julai), Kim Swee berkata, perlawanan berkenaan hendaklah dimanfaatkan untuk meneruskan kebangkitan.

Dengan pasukan seperti KLC FC, PDRM FC dan Terengganu FC semakin menghambat, skuad Sang Badak itu berasakan mereka tidak boleh mensia-siakan mata untuk menjarakkan diri di samping menutup ruang dengan pasukan di atas mereka.

“Masih terlalu awal dalam pusingan kedua ini untuk meramalkan apa-apa tapi semua pasukan akan diperkuatkan dengan tambahan pemain baru.

“Kami pastinya perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan tercicir dalam persaingan selepas ini,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram