Azam Azmi pilih kekal, contohi 3 pemain setia di kelab lebih 5 tahun


  • Podium
  • Rabu, 12 Jul 2023

Azam Azmi bersetuju untuk kekal bersama TFC sehingga 2025. — Facebook/TFC

KEM Terengganu FC (TFC) menarik nafas lega selepas pertahanan kental, Azam Azmi Murad membuat pilihan untuk kekal di bumi Darul Iman selepas difahamkan khidmatnya diburu pasukan elit tanah air pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Menerusi laporan dari wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kelab berkenaan difahamkan sedia menebus kontrak bek kanan muda itu dengan nilai tinggi bagi memperbaiki pertahanan yang longgar.

Bagaimanapun, perkara itu sudah dinafikan ejen Azam yang menggunakan akaun Twitter, Joe Berbatov dengan mengatakan tiada tawaran diterima pihaknya dan kapten Bawah 23 tahun (B-23) negara tersebut akan terus kekal bersama TFC sehingga musim 2025.

"Tiada sebarang tawaran dari mana-mana kelab buat masa ini. Harap maklum," kata ejen tersebut dalam hantaran di laman Twitter miliknya.

Ibarat mencari mutiara dalam lautan, demikianlah perumpamaan boleh menggambarkan situasi bola sepak zaman sekarang iaitu sukar untuk mendapatkan pemain yang lebih memilih kesetiaan daripada wang ringgit.

Oleh itu tidak hairanlah jika rata-rata penyokong Sang Penyu memuji keputusan pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut kerana lebih mementingkan kesetiaan dan minit permainan yang terjamin bersama Terengganu.

Selain Azam Azmi, berikut tiga pemain yang memilih setia menyarung jersi kelab lama sekurang-kurangnya lebih tempoh lima tahun;

1) Aidil Zafuan (sejak 2013)

AIDIOL

Aidil mula menyertai JDT pada musim 2013. — Facebook/JDT

Bek tengah berpengalaman, Aidil Zafuan merupakan salah satu legenda Johor Darul Takzim (JDT) yang mana sudah menabur bakti bersama kelab gergasi tanah air itu selama 10 tahun sejak menyertainya pada musim 2013.

Sebelum menyertai juara bertahan Liga Super itu, Aidil sempat menyumbang kepakarannya kepada Negeri Sembilan (2005-2011) dengan menjuarai Liga Super Malaysia pada musim pertamanya bersama pasukan negeri kelahirannya tersebut.

Musim 2012 pula, pemain berusia 35 tahun itu pula berpindah ke pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pernah menjuarai Liga Perdana Malaysia sebelum khidmatnya dipinang Harimau Selatan pad musim berikutnya.

Aidil yang menyertai Harimau Selatan pada 2013 muncul satu-satunya pemain yang masih kekal bersama kelab tersebut sejak revolusi besar-besaran dilancarkan pada 2014.

Sejak menyarung jersi bersama JDT, Aidil merekodkan sembilan kejuaraan Liga Super selain memenangi dua Piala FA, tiga Piala Malaysia dan turut menjuarai Piala AFC 2015 di bawah kendalian Mario Gomez.

Meskipun pada musim lepas, timbul desas-desus mengatakan bahawa bekas pemain kebangsaan itu akan ke skuad Jang susulan dikatakan tidak akan disambung kontrak namun Aidil tampil menyatakan bahawa dia masih dahagakan kejayaan bersama JDT dan akan terus kekal berkhidmat bersama JDT.

2) Nor Azam Azih (sejak 2015)

azam azih

Azam Azih sudah tampil dalam 200 perlawanan bersama Sri Pahang. — Facebook/SriPahang

Azam Azih ditandatangani daripada Harimau Muda B pada permulaan musim 2015 dengan namanya mula mencuri tumpuan apabila bekas jeneral tengah Tok Gajah, Azidan Sarudin mengalami kecederaan pada awal musim 2015.

Situasi yang tidak menyebelahi Azidan itu dapat dimanfaatkan oleh pemain berusia 28 tahuh itu dan akhirnya Azam Azih sering menjadi pilihan pengendali Tok Gajah untuk meletakkannya sebagai kesebelasan utama.

Pada 17 Mac lalu ketika perlawanan Liga Super menentang Perak FC, Azam Azih melakar sejarah dalam karier bola sepaknya apabila membuat penampilan yang ke-200 bersama Tok Gajah sejak menyertainya pada musim 2015.

Walaupun sebelum ini Azam Azih pernah mendapat tawaran daripada beberapa kelab Liga Super seperti pernah dikaitkan dengan JDT dan Selangor namun pemain berusia 28 tahun itu memilih kekal di bumi Darul Makmur.

'Jiwa aku hanya untuk Sri Pahang' merupakan ayat yang pernah dilontarkan Azam Azih untuk menunjukkan kesetiaanya dan sekali gus menepis segala khabar angin mengaitkannya dengan kelab lain.

Berdasarkan rekod yang dikongsi oleh HarimauMyStats sebelum ini, Azam Azih sudah bermain sebanyak 132 perlawanan Liga Super, 35 perlawanan Piala Malaysia, 23 perlawanan Piala FA dan enam perlawanan Piala AFC bersama Sri Pahang.

Antara pencapaian terbaik pemain itu bersama Tok Gajah ialah menjuarai Piala FA pada tahun 2018 selepas menewaskan Selangor 2-0.

3) Amirul Hisyam (sejak 2016)

AMIRUL

Amirul dikatakan permata baharu buat Sang Kenari pada musim ini. — Facebook/KDAFC

Amirul Hisyam pada mulanya dipilih untuk menyertai skuad Piala Presiden 2013 Kedah namun persembahan menariknya ketika pemilihan yang dijalankan oleh Harimau Muda C berhasil menjadikan dia sebahagian daripada skuad Datuk Ong Kim Swee.

Di bawah kendalian Kim Swee, pemain berusia 28 tahun itu beraksi dalam dalam Liga Perdana Queensland pada 2014 dan Sukan Asia Tenggara 2015 sebelum Amirul menyertai Kedah pada musim 2016.

Namanya tidaklah sepopular Baddrol Bakhtiar namun Amirul juga merupakan salah satu pemain yang setia menabur bakti di bumi Darul Aman walaupun ada suara-suara berpendapat jeneral tengah itu patut menggunakanya di pasukan lain.

Berdasarkan rekod yang dikongsi dari laman Soccerway, Amirul sudah bermain sebanyak 117 perlawanan bersama Sang Kenari dan pernah menjulang Piala FA pada musim 2016 dan 2017, selain menjadi naib juara Liga Super untuk musim 2020 serta 2021.

Musim ini, nama anak jati Kedah itu semakin mencuri tumpuan penyokong dan ada mengatakab Amirul semakin bersinar di bawah tunjuk ajar Nafuzi Zain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram