Lepas Azam Azmi diburu ,kini giliran import TFC angkat kaki?


  • Podium
  • Khamis, 13 Jul 2023

Sekitar sesi latihan barisan pemain Terengganu FC. — Facebook/TerengganuFC

PERTEMBUNGAN epik yang disaksikan oleh penyokong bola sepak tanah air apabila Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) terikat dengan keputusan 3-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam aksi tersebut, pasukan pengunjung membuka tirai jaringan menerusi Omid Nazari pada minit ke-29 namun tuan rumah dilihat menguasai permainan apabila menjadi pendahulu perlawanan dengan mencetak tiga gol dalam babak pertama menerusi jaringan Giancarlo Gallifuoco, Paulo Josue dan Romel Morales.

Namun, sikap tidak berputus asa anak-anak buah Tomislav Steinbruckner membuahkan hasil apabila skuad Sang Penyu meraih dua gol penting pada babak kedua perlawanan menerusi jaringan Norhakim Hassan dan Ivan Mamut yang menyaksikan kedua pasukan terikat dengan satu mata di akhir perlawanan.

Keputusan seri itu diburukkan lagi dengan khabar angin yang mengatakan dua tonggak Sang Penyu bakal meninggalkan skuad Pantai Timur itu.

WhatsApp Image 2023-07-13 at 08.58.47

Tangkap layar hantaran tersebut. — Instagram/habibharoon30

Terbaharu, wujud spekulasi yang mengatakan bahawa pemain import sensasi di skuad utama TFC, Habib Haroon didakwa tidak lagi bersama pasukan itu dalam menghadapi baki saingan musim ini.

Perkara itu turut dikuatkan lagi apabila Habib memuat naik semula hantaran daripada salah seorang pengikutnya di laman Instagram, Khamis6952 yang seakan-akan memberi bayangan mengenai perpindahannya ke liga Eropah.

"Tidak sabar untuk melihat anda di Eropah," kata Khamis6952 dalam hantaran tersebut.

Bukan itu sahaja, kelibat tonggak tengah import Sang Penyu itu juga tidak kelihatan berada dalam sesi latihan pasukan itu yang diadakan pada Rabu.

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa penyokong TFC yang meluahkan rasa kecewa sekiranya Habib tidak lagi beraksi bersama skuad Sang Penyu.

Walau bagaimanapun, menerusi tinjauan Majoriti, tiada sebarang pengumuman khas yang dibuat oleh pihak pengurusan Terengganu FC mengenai perpindahan pemain kelahiran Bahrain tersebut ke Eropah.

Sebelum ini, tonggak pertahanan Sang Penyu, Azam Azmi Murad dilaporkan menjadi sasaran sebuah pasukan Liga Super tanah air namun perkara itu sudah dijelaskan ejen bola sepak, Joe Berbatov dengan mengatakan bahawa pemain kelahiran Pulau Pinang itu kekal bersama skuad Sang Penyu.

Pasukan TFC menduduki tangga keenam carta Liga Super dengan mengutip 24 mata selepas 16 perlawanan berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram