'No siu no problem', Mickey pilih keseronokan kekal


  • Podium
  • Selasa, 11 Jul 2023

Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim. — Instagram/faisalhalim.7

PENYOKONG bola sepak tanah air dikejutkan dengan kekalahan Selangor FC ketika berdepan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Ahad.

Kekalahan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada penyokong Gergasi Merah malah barisan pemain itu juga dilihat kecewa dengan keputusan 0-1 di laman pihak lawan.

Antara yang pasti terkesan ialah pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim apabila gerak-gerinya mudah dikunci pihak lawan sehingga menyukarkan pergerakannya melakukan percubaan berbahaya ke gawang skuad Tok Gajah.

Walaupun gagal menghadiahkan aksi 'siu' yang dilihat cukup sinonim dengan pemain Gergasi Merah itu acapkali mencetak jaringan namun Faisal Halim tetap positif dengan keputusan perlawanan tersebut.

WhatsApp Image 2023-07-11 at 16.50.54

Tangkap layar hantaran di laman Instagram tersebut. — Instagram/faisalhalim.7

Menerusi satu perkongsian yang dimuat naik oleh penyerang kebangsaan di laman Instagram miliknya itu mengatakan bahawa dia percaya kepada rezeki dan tetap berusaha untuk membantu pasukan Selangor pada perlawanan akan datang.

"Rezeki ALLAH itu luas, teruskan usaha untuk pasukan. Jangan pilih untuk seronok seketika tapi pilih untuk seronok untuk selamanya," katanya dalam hantaran tersebut.

Rentetan daripada perkongsian tersebut, ramai penyokong turut memberikan kata-kata semangat kepada bekas pemain Terengganu FC itu.

"Abaikan haters, terus jalan ke depan Mickey," kata muhdamirfauzan.

"Mickey adalah pemain Selangor yang terbaik pernah ada, teruskan berjuang. Semoga terus sucess bersama Selangor," kata ahmadselangor2023.

"Mickey kami sentiasa ada bila menang atau kalah, terus ke depan Mickey," kata sypqlee.

Faisal Halim atau lebih mesra dengan panggilan Mickey itu mencipta kecemerlangan musim lalu ketika beraksi bersama Sang Penyu.

Untuk rekod, di bawah kendalian Nafuzi Zain, Mickey mencetak enam gol dan sembilan hantaran bantuan dalam 20 perlawanan liga musim 2022.

Dalam pada itu, Mickey juga terus konsisten bersama Gergasi Merah musim ini dan berjaya meledak tujuh gol dan mencipta lapan hantaran bantuan selepas 16 perlawanan Liga Super berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram