SELEPAS terikat dengan keputusan 1-1 ketika berdepan Kelantan United FC (KUFC) dalam aksi Liga Super 2023 di laman sendiri pada Jumaat lalu, Perak FC menerima penyerang import baharu untuk membantu pasukan tersebut.
Sepanjang perlawanan liga berlangsung, Perak FC menyedari ketumpulan bahagian penyerang menjadi punca utama pasukan itu gagal mencetak lebih banyak jaringan.
Dalam pada itu, untuk membantu mempertajamkan jentera serangan skuad The Bos Gaurus (TBG), pihak pengurusan pasukan tersebut sudah menandatangani penyerang import baharu.
Bekas pemain TBG, De Paula. — Agensi
Menerusi satu hantaran rasmi di Facebook, Perak Football Club, pihaknya telah membawa masuk penyerang baharu, Luka Milunovic untuk memperkuatkan skuad TBG dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Penyerang berusia 30 tahun itu pernah beraksi di Liga-M untuk pasukan tanah air iaitu Melaka United dan Sabah FC pada musim 2019 dan menjaringkan 10 gol dalam 21 penampilan.
Luka yang buat kali kedua bakal beraksi di Liga-M merasakan ia peluang keemasan untuk dirinya membuktikan bahawa dia adalah salah seorang penyerang import yang terbaik bermain di kelab tanah air.
Menurut pemain kelahiran Serbia itu, Perak merupakan kuasa besar dalam bola sepak Malaysia yang penuh dengan tradisi dan legasi. Pastinya ia menjadi penghormatan buat dirinya untuk bermain di kelab tersebut.
Selain itu, pemain berketinggian 1.80 meter itu juga mengatakan bahawa dia mempercayai liga tersebut telah mengalami revolusi yang menjadi lebih kompetitif dan sudah bersedia untuk menghadapi cabaran.
"Lets make Perak great again," kata Luka.
Dalam pada itu, terdapat juga penyokong berharap agar import kelahiran Serbia tersebut mampu bersinar seperti Wander Luiz yang juga bekas pemain Perak FC sebelum ini.
Wander Luiz merupakan bekas pemain TBG yang pernah membantu Perak FC mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim 2018 menerusi hasil dua jaringan menewaskan PKNS FC di Stadium Shah Alam, Selangor.
Bukan sahaja pemain kelahiran Brazil itu disebut oleh penyokong, malah bekas pemain TBG, Guilherme de Paula turut menjadi contoh agar pemain import baharu itu mampu beraksi sepertinya.
De Paula pernah membantu Perak FC mencetak tiga gol sepanjang 10 perlawanan dalam saingan Liga Super musim 2020. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram