Azam Azmi dipikat kelab elit tanah air, tapi ejen cakap sebaliknya


  • Podium
  • Selasa, 11 Jul 2023

Pemain pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi. — Facebook/TFC

TONGGAK pertahanan Terengganu (TFC), Azam Azmi Murad dilaporkan kini menjadi sasaran sebuah pasukan Liga Super tanah air bagi menguatkan lagi pertahanan pasukan tersebut.

Menurut ciapan yang ditulis oleh wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam, pertahanan Harimau Malaya itu dikatakan diburu oleh sebuah pasukan elit Liga Super.

Bagaimanapun, perkara itu sudah dinafikan ejen Azam yang menggunakan akaun Twitter, Joe Berbatov dengan mengatakan tiada tawaran diterima pihaknya.

WhatsApp Image 2023-07-11 at 15.42.32

Azam Azmi bersetuju untuk kekal bersama TFC sehingga 2025. — Instagram/azamazmi_06

"Tiada sebarang tawaran dari mana-mana kelab buat masa ini. Harap maklum," katanya dalam hantaran tersebut.

Selain mengesahkan bahawa tiada sebarang tawaran tersebut setakat ini, ejen bola sepak itu pernah mendedahkan bahawa pemain kelahiran Pulau Pinang itu bersetuju untuk kekal bersama Terengganu FC sehingga 2025.

Azam dilihat lebih mementingkan minit permainan untuk kemajuan kariernya sebagai pemain bola sepak apabila sering diberikan kepercayaan untuk turun beraksi oleh pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner.

Walaupun ejen Azam memperjelaskan perkara tersebut, namun terdapat juga beberapa penyokong yang menyebut pasukan Selangor FC tetap mahu mendapatkan kapten Bawah-23 (B-23) negara itu.

Ini kerana, jika dilihat kepada keadaan semasa Gergasi Merah, pasukan itu sering dikaitkan dengan masalah pertahanan yang dialami oleh mereka.

Walaupun sedang menduduki tangga kedua liga, namun isu pertahanan masih menghantui dan menjadi kerisauan penyokong Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram