SABAH FC memulakan kempen Liga Super 2023 dengan menghuni kedudukan lima teratas selepas 16 perlawanan berlangsung.
Di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee (DOKS), Sabah FC menampilkan prestasi yang cemerlang bukan sahaja musim ini namun selepas beliau mengambil alih sebagai ketua jurulatih The Rhinos musim lepas.
Tugas mengemudi Sabah FC dianggap tepat memandangkan pengalaman DOKS yang pernah menghabiskan kariernya sebagai pemain bola sepak untuk pasukan yang berpangkalan di Borneo iaitu Sarawak dan Sabah semasa pertengahan 90-an.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee. — Facebook/Sabahfootballclub
Setakat menempuh perjalanan musim ini, Sang Badak mencatatkan sembilan kemenangan, tiga kali seri dan empat kekalahan namun masih belum menampakkan prestasi yang baik setakat ini jika dibandingkan musim 2022.
Ini kerana The Rhinos sering mengalami kerapuhan benteng pertahanan walaupun dibarisi dengan pemain yang cukup berpengalaman dalam kancah bola sepak.
Di sebalik prestasi terumbang-ambing pada musim ini, ramai penyokong masih merasakan OKS berjasa besar menjulang kelab Borneo ini dalam Liga M sehingga ada yang menyifatkan pasukan itu tidak mampu melangkah jauh tanpa bimbingannya.
Namun pendapat itu dipertikai apabila ada segelintir penyokong mula menyanjung semula nama bekas jurulatih Sabah FC, Jelius Ating kerana pernah membawa pasukan Sabah FC naik pangkat ke peringkat Liga Super.
Jelius merupakan jurulatih yang membimbing pasukan Sabah untuk menjuarai Liga Perdana pada 2019 yang membolehkan pasukan itu dinaikkan ke saingan Liga Super, yang kemudian dijadikan sebuah kelab profesional dikenali sebagai Sabah FC.
Kelab itu pada awalnya dibimbing jurulatih Kuniawan Dwi Yulianto dari Indonesia sebelum diambil alih jurulatih Datuk Ong Kim Swee kemudian.
Menurut laporan UtusanBorneo, Jelius menjadi jurulatih yang pertama di Sabah memiliki Lesen Pro A yang melayakkannya untuk mengendalikan pasukan Liga Super dalam Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
"Kalau bukan Jelius, mana mungkin Sabah main Liga Super," kata Tamang Ashim.
"Cuma satu sahaja yang tidak berapa suka dengan formasi 3-4-3, kalau DOKS ini pakar formasi lain dan taktikal berubah-ubah mungkin Sabah FC berada di kedudukan yang lebih baik sekarang,apa boleh buat itu sahaja dia tahu," kata Harith Adam.
Bagaimanapun, terdapat juga beberapa penyokong Sang Badak yang turut memberikan sokongan kepada pengendali Sabah FC, DOKS yang melibatkan pengorbanan sepanjang bersama skuad itu selain menolak perbandingan dua figura itu.
"Kalau bukan Datuk Ong Kim Swee, nama Sabah mana naik," kata Pejuang Sabahan.
"Kamu tidak boleh membandingkan Jelius dengan OKS, OKS telah melatih U23 NT (pasukan kebangsaan) dan Senior NT, dia telah memenangi Sukan SEA untuk negara lagi.
"Kamu tengok saja rekod Sabah dari 2000 dan seterusnya,alahai sungguh menyedihkan dan tahun pertama sebagai jurulatih OKS layak ke AFC namun keyboard warriors ada saja mengkritik.Kita patut bersyukur OKS memilih Sabah," kata Sabah Football History and Now.
Untuk rekod, penghujung musim lalu, Kim Swee dilantik sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC dan berjaya membawa kelab itu berada di kedudukan ketiga Liga Super 2022.
Selain menduduki tangga ketiga Liga Super 2022, di bawah kendalian DOKS juga sah beraksi di pentas Piala AFC 2023 selepas Johor Darul Takzim (JDT) dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2022 musim lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram