SELEPAS ditundukkan oleh Sabah FC dengan keputusan 0-3 di laman sendiri dalam aksi Liga Super 2023 pada Jun lalu, Kelantan United FC (KUFC) didakwa bakal kembali dengan senjata baharu untuk pasukan tersebut.
Sepanjang 16 perlawanan liga, KUFC sudah dibolosi sebanyak 39 kali, sekali gus membuktikan bahawa isu kerapuhan benteng pertahanan menjadi fokus utama pihak pengurusan.
Untuk mengelak perkara tersebut berlaku ketika menghadapi Kedah Darul Aman (KDA FC) pada perlawanan seterusnya, Sang Kijang Hijau dalam usaha untuk memperkukuhkan benteng pertahanan skuad itu.
Dominik Balic (tengah) menjadi pemain import terbaru Kelantan United musim ini. — Facebook/KUFC
Menerusi satu hantaran rasmi di Facebook, Kelantan United FC, pihak pengurusan pasukan itu telah membawa masuk pemain pertahanan dari kelab divisyen kedua Crotia, NK Dugopolje, Dominik Balic sempena jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini.
Pemain yang berusia 27 tahun itu didakwa mampu memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan itu bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.
Di samping itu, import baharu tersebut memiliki kelebihan iaitu berketinggian 1.90 meter dan mempunyai keupayaan beraksi di posisi pertahanan tengah dan tengah bertahan.
Sebelum ini, pemain kelahiran Croatia itu juga pernah beraksi bersama pasukan tanah air iaitu Melaka United pada musim 2019.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Kelantan United FC berharap pemain yang pernah beraksi di Liga Super Malaysia ini dapat memberi sumbangan bermakna kepada pasukan Sang Kijang Hijau pada baki perlawanan yang akan dilalui dalam saingan liga nanti.
Pemain tengah bertahan itu menjadi pemain import keempat dibawa masuk dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
Untuk rekod, baru-baru ini, Sang Kijang Hijau sudah mengikat dua 'oppa' dari Korea Selatan, Kim Min Kyu dan Kim Deok, serta membawa masuk import dari Uzbekistan, Sirojiddin Rakhmatullaev selain menyambar penyerang kelab jiran, Ismaheel Akinade dari Kelantan FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram