MESKIPUN dikenakan sekatan perpindahan sebelum ini, rayuan yang dibuat pihak pengurusan Kelantan FC membuahkan hasil apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menarik semula denda berkenaan.
Tindakan itu dikenakan awal Julai lalu rentetan daripada kegagalan kelab Pantai Timur berkenaan untuk menyelesaikan bayaran gaji serta caruman KWSP.
Namun, dengan masalah berkenaan sudah diselesaikan, terdapat kemungkinan bahawa skuad The Red Warriors (TRW) bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain baharu.
Setakat ini, pasukan tercorot Liga Super itu hanya mengumumkan kehadiran dua nama baharu, iaitu Nathaneal Siringoringo serta Allee Putra Azril.
Siringoringo yang pulang selepas tempoh pinjamannya tamat dengan kelab Indonesia, Dewa United FC sudah mempamerkan bakat dan kesungguhannya ketika diturunkan dalam aksi Liga Super menentang Penang FC.
Gol serta bantuan jaringan yang dihasilkan dalam perlawanan berkenaan membuktikan bahawa pemain berusia 23 tahun itu cukup sesuai untuk menajamkan lagi jentera serangan skuad TRW.
Siringoringo (kiri) mengumumkan kepulangannya dengan satu gol ketika berdepan Penang FC. — Facebook/TRW Kelantan FC
Tetapi, situasi berbeza pula dialami Allee memandangkan dia hanya tiba sebagai seorang ubi muda berpotensi besar apabila pernah menjalani latihan di kelab Sepanyol, Malaga City FC.
Penambahan kedua-dua pemain terbabit dilihat masih belum cukup untuk menghidupkan semula musim Kelantan FC yang kini berdepan cabaran getir untuk berada dalam kelompok 10 pasukan teratas.
Bagaimanapun, usaha kelab itu untuk membawa masuk nama-nama besar seperti semakin sukar apabila reputasi mereka cukup terjejas dengan masalah tunggakan pembayaran gaji.
Selain itu, struktur kewangan yang tidak kukuh hanya akan merumitkan lagi keadaan walaupun pemilik kelab, Norizam Tukiman masih bercita-cita besar untuk mengembalikan zaman kegemilangan skuad TRW.
Jadi, dalam menyelesaikan perkara terbabit, kelab Pantai Timur itu perlu mendapatkan khidmat pemain dengan status ejen bebas agar mereka tidak perlu membayar wang pampasan yang besar.
Antara nama yang dilihat sesuai untuk menyarung jersi Kelantan FC untuk baki musim 2023 ialah bekas penyerang mereka, Kervens Belfort.
Sejak meninggalkan pasukan berkenaan pada awal musim lalu, pemain kebangsaan Haiti itu tidak terikat dengan mana-mana kelab meskipun usianya baru sahaja mencecah 31 tahun.
Wahh, bukan main berbakat rupanya Kervens Belfort ni. Tapi, ada udang di sebalik batu ke nyanyi 'chant' @kelantanfc_trw tu?#majoriti #Haiti #kelantan pic.twitter.com/fHZHX9McEG
— Majoriti (@majoritionline) July 13, 2023
Hal itu dilihat berpunca daripada pulangan golnya yang kurang memberangsangkan di samping kelab yang disertainya beberapa musim kebelakangan ini berada dalam liga tidak kompetetif.
Namun, kegusaran tidak perlu diberikan perhatian mendalam daripada pihak pengurusan Kelantan FC memandangkan mereka amat terdesak untuk mendapatkan khidmat pemain import.
Tambahan pula, kesetiaan serta rasa sayang Belfort terhadap skuad TRW tidak perlu dipertikaikan apabila pemain itu sering memuat naik video latihannya sambil menyarung jersi latihan kelab itu.
Baru-baru ini, pemain tinggi lampai itu sekali lagi membuktikan hubungan akrabnya terhadap pasukan itu menerusi satu klip pendek yang dimuat naik di TikTok peribadinya.
Dalam video berdurasi 59 saat itu, Belfort dengan gembira menyanyikan lagu berjudul 'Ale Ale Kelantan-Ku' yang sering didengari di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.
Menariknya, Belfort juga sempat menunjukkan bakatnya apabila dia bermain papan nada, sekali gus menunjukkan kebolehannya di luar padang.
Sebelum ini, penyerang dengan 40 penampilan antarabangsa itu bukanlah seorang penyudah prolifik bersama skuad TRW, namun kehadirannya membolehkan pasukan berkenaan menamatkan saingan Liga Perdana dengan status naib johan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram