Mengejutkan? Kelantan United belum habis buat kejutan


  • Podium
  • Rabu, 12 Jul 2023

Kelantan United kini berada di tangga ke-12 Liga Super selepas menempuh 16 perlawanan Liga Super. — Facebook/Kelantan United FC

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

BUKAN sedikit kejutan daripada Kelantan United FC (KUFC) pada awal pembukaan jendela perpindahan kedua ini apabila mereka mengumumkan sudah menandatangani lima pemain import baharu, mengatasi semua pasukan lain.

Dan ia tidak akan terhenti setakat itu dengan bayangan satu lagi kejutan akan ditampilkan apabila skuad Kijang Hijau itu berkunjung untuk berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Jumaat.

Mengumpamakan jendela perpindahan kedua ini yang bermula 5 Julai sebagai membawa “angin kedua”, skuad kendalian jurulatih dari Brazil, Ailton Dos Santos Silva, itu bersungguh-sungguh mahu mencapai matlamat pada awal musim untuk berkesudahan dalam kelompok 10 teratas sekurang-kurangnya.

KUFC ketika ini berada di tangga ke-12, sedikit mengatasi Kuching City FC dan Kelantan FC, dengan dua perlawanan terakhir sejak Ailton mengambil alih berkesudahan dengan tewas 0-3 kepada Sabah FC dan seri 1-1 dengan Perak FC.

“Masa tidak banyak memihak kami. Berbaki 12 perlawanan dalam pusingan kedua liga, kami perlu menggunakan peluang daripada apa yang tinggal untuk memperbaiki kedudukan,” kongsi penolong ketua jurulatih, Nazrulerwan Makmor, dengan Laptop Cabuk.

358063890_694309076042083_380002043553410315_n

Nazrulerwan mahu skuad Kijang Hijau bangkit untuk baki musim 2023. Facebook/Kelantan United FC

“Tumpuan kami ketika ini ialah untuk mengikis tanggapan bahawa Kelantan United adalah pasukan belasahan. Kami mahu bermula kembali dengan harapan dapat mencapai kelompok top ten lebih dahulu.”

Kerana itu juga, KUFC tidak berlengah melakukan usaha penambahbaikan, yang dimulai dengan mendatangkan Ailton sebagai ketua jurulatih baharu bemula 15 Jun lalu. KUFC awalnya dibimbing Tomas Trucha sebelum tugasnya disambung Nazrulerwan sebagai ketua jurulatih interim.

Mempunyai rekod peribadi cemerlang, Ailton sebelum ini berjaya membantu kelab Chiangrai United menjuarai Liga Thailand pada 2019 selepas mencatatkan 22 kemenangan, sekali gus dinobatkan pengurus terbaik pada musim itu.

Selepas itu, dia disenaraikan sebagai pengurus Chiangmai United pada 2021 dan Kelantan United adalah kelab ketiganya di rantau Asia Tenggara.

“Coach Ailton baru mengendalikan pasukan dalam dua perlawanan tapi sudah nampak kemajuan yang dibawa hasil pendekatannya yang sangat proaktif dan positif.

358079104_695642422575415_1400105170578287283_n

Ailton dikatakan cukup aktif dalam memastikan taktikal yang diterapkannya menjadi. Facebook/Kelantan United FC

“Dia seorang jurulatih berpengalaman. Di sebalik dia nampak kami sebagai sebuah kelab kecil, dia cuba terapkan elemen supaya orang nampak kami bukan lagi sebuah pasukan belasahan,” kata Nazrulerwan.

KUFC, menerusi satu hantaran rasmi di Facebook kelab pada Selasa, mengumumkan penyenaraian Dominik Balic, bekas pemain Melaka United pada musim 2019, untuk memperkuat benteng pertahanan.

Balic, yang berketinggian 1.90 meter, adalah pemain import kelima yang dibawa masuk dalam jendela perpindahan kedua ini – didahului oleh penyerang Ismaheel Akinade dari Kelantan FC, seterusnya bek Kim Deok dan pemain sayap Kim Min Kyu dari Korea Selatan serta pemain tengah Sirojiddin Rakhmatullaev dari Uzbekistan.

Ringkasnya, KUFC kini memiliki tenaga baharu di setiap bahagian dengan lima import baharu – paling produktif dalam jendela perpindahan ini dengan mengatasi pasukan seperti Sri Pahang FC, Kedah FC dan Sabah FC, yang masing-masing membawa masuk dua. Hanya Perak FC yang menandatangani tiga import baharu setakat ini.

358461274_697548085718182_1584317718048783111_n

Dominik Balic diumumkan sebagai rekrut baharu untuk skuad Kijang Hijau. Facebook/Kelantan United FC

Sepanjang 16 perlawanan liga, KUFC sudah dibolosi sebanyak 39 kali, sekali gus membuktikan bahawa isu kerapuhan benteng pertahanan menjadi fokus utama pihak pengurusan.

Satu-satu kemenangannya pula ialah ketika menundukkan pasukan tetangga, Kelantan FC, 4-1 pada 22 Jun.

Nazrulerwan turut memuji keterbukaan Ailton dalam melibatkan semua pembantunya dan pemain-pemain agar memainkan peranan masing-masing dalam memajukan pasukan ke tahap yang dicita-citakan mereka.

“Kelebihannya adalah daripada segi psikologi. Dia pandai mengambil hati pemain dalam mengerah keupayaan terbaik setiap seorang daripada mereka.

“Dia nakkan semua orang dalam pasukan terlibat sama, bukan hanya ikut arahan daripadanya. Dia juga senang nak berbincang bagi mendapatkan pandangan kedua walaupun keputusan akhir di tangannya.

335664329_1332887487568231_2606570828131174061_n

Kedah mencatatkan kemenangan dalam pertembungan kedua-dua pasuakn dalam Liga Super musim lalu. Facebook/Kelantan United FC

“Jadi, semua pemain lebih bersemangat dan sebagai penolong ketua jurulatih, saya akan sentiasa menyokong dia. Suasana dalam pasukan sejak akhir-akhir ini sangat menyenangkan,” tambahnya.

Nazrulerwan juga membayangkan semua lima import terbaharu KUFC akan diturunkan ketika berdepan Kedah, yang kini makin bersemangat dengan melonjak ke tangga keempat selepas kemenangan 2-0 ke atas PDRM FC pada Ahad lalu.

“Tapi kami juga akan lebih bersemangat kerana akan mendapat satu ‘nama besar’ pemain tempatan dalam perlawanan itu nanti.

“Urusan perpindahannya (dari sebuah pasukan Pantai Timur) semuanya sudah dilengkapkan. Dia hanya menanti masa untuk diturunkan, sama ada untuk sebahagian atau keseluruhan perlawanan,” katanya enggan mendedahkan identiti pemain itu.

KUFC nampaknya bukan saja berkemungkinan tidak lagi akan menjadi pasukan belasahan, malah mungkin mula menghitung mata daripada setiap perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram