Bakal kehilangan hero TFC, 3 sebab Sang Penyu mungkin menangis harungi baki musim


  • Podium
  • Khamis, 13 Jul 2023

Mintah ketika tampil dalam aksi menentang Sabah FC. — Instagram/jordan_mintah28

BERITA kemungkinan perpindahan keluar penyerang import Terengganu FC, Jordan Mintah semakin bertiup kencang sejak beberapa minggu lalu selepas pemain kelahiran Ghana itu dilaporkan mempunyai masalah dengan barisan kejurulatihan pasukan.

Segalanya bermula selepas penyerang tersebut dikhabarkan enggan mengambil sepakan penalti ketika perlawanan separuh akhir Piala FA 2023 pada 25 Jun lalu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu itu, skuad Sang Penyu tewas 2-4 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam penentuan sepakan penalti selepas perlawanan tamat tanpa sebarang jaringan.

Tindakan Mintah yang enggan mengambil tanggungjawab melaksanakan sepakan penalti itu dikatakan menimbulkan perasaan kurang senang kepada ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner.

2167104

Terengganu FC gagal mara ke perlawanan akhir Piala FA 2023 selepas tewas di tangan KL City FC melalui penentuan sepakan penalti 2-4. — Facebook/Terengganu FC

Malah, isu tersebut juga dipercayai menjadi punca menyebabkan nama penyerang itu langsung tidak berada dalam senarai skuad pada dua perlawanan seterusnya ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dan KL City FC ketika saingan liga.

Ekoran perkembangan tersebut, nama Mintah, 28, sejak minggu lalu mula dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan pencabar lain Liga Super 2023 antaranya Penang FC dan Kuching City FC.

Disebabkan itu, berikut Majoriti senaraikan kesan bakal dirasai skuad Sang Penyu sekiranya berita perpindahan keluar Mintah itu benar-benar berlaku:

1. Kehilangan penyumbang gol utama

2095089

Mintah berkongsi kedudukan dengan Mamut sebagai penjaring terbanyak Terengganu FC dengan lima jaringan. — Facebook/TerengganuFC

Seperti yang diketahui, skuad Sang Penyu merupakan antara pasukan yang bergelut untuk menampilkan prestasi terbaik ketika awal musim ini.

Tiga kekalahan dialami skuad Sang Penyu daripada lima perlawan perlawan pertama liga menyaksikan Terengganu FC terperosok ke kelompok pertengahan liga meskipun ia memegang status sebagai Naib Juara Liga Super 2022.

Bagaimanapun, skuad kendalian Tomislav dilihat berjaya bangkit daripada prestasi hambar tersebut apabila mencatatkan kemenangan berturut-turut dalam aksi seterusnya masing-masing ketika menentang Kelantan United FC 2-1, Kelantan FC (5-0) dan Kuching City FC (2-0).

Antara watak menjadi tulang belakang kepada kebangkitan tersebut ialah Mintah yang mencetak empat gol dalam tiga perlawanan tersebut.

Ia masing-masing satu gol ketika menentang Kelantan United FC dan Kelantan FC dan dua jaringan semasa perlawanan melawan Kuching City FC.

Rekod tersebut meletakkan beliau menjadi penjaring terbanyak Terengganu FC ketika pusingan pertama liga pada musim ini.

Pada masa sama, aksi terakhirnya ketika menentang Perak FC sebagai pemain simpanan ketika menentang Perak FC pada 3 Jun lalu juga menyaksikan dia menyumbang satu gol, menjadikan jumlah jaringan keseluruhannya kepada sebanyak lima gol setakat 13 perlawanan liga.

Disebabkan itu, perpindahan keluar Mintah daripada pasukan tentunya sekali gus menghilangkan salah satu sumber jaringan gol yang dimiliki Terengganu FC.

Untuk rekod, Mintah ketika ini berkongsi kedudukan bersama seorang lagi penyerang import pasukan, Ivan Mamut sebagai penjaring terbanyak liga dengan masing-masing merekodkan lima gol.

2. Kesukaran dapatkan penyerang import yang serasi

1989721

Mamut (kanan) digugurkan selepas desakan daripada penyokong Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

Dengan sumbangan gol agak signifikan diberikan Mintah kepada pasukan, Terengganu FC dijangka berhadapan masalah di bahagian serangan sekiranya tidak mendapatkan pengganti import yang lebih baik.

Dalam pada itu, perlu diakui bahawa punca utama krisis awal musim dialami skuad Sang Penyu adalah apabila beberapa rekrut baharu import yang ditandatangani pasukan mengambil masa untuk menyesuaikan diri bersama skuad.

Antara yang bergelut dan mendapat kritikan penyokong termasuk penyerang yang diharapkan menjadi tonggak utama pasukan iaitu Ivan Mamut yang dilihat masih bergelut untuk mencari keserasian dalam pasukan

Dengan Mamut dilihat masih belum mampu memberikan sumbangan agak konsisten buat pasukan meskipun mempunyai jumlah aksi yang lebih banyak iaitu 12 perlawanan berbanding Mintah (10 perlawanan).

Kegagalan untuk mendapatkan pengganti lebih baik daripada Mintah bakal menyukarkan usaha Terengganu FC untuk kembali mendaki ke kelompok teratas liga dalam baki saingan liga.

3. Penyokong kehilangan personaliti yang disenangi

2036551

Mintah membuat gaya seperti hendak laungkan azan cetus tanda tanya kepada peminat TFC. — Facebook/ Terengganu FC.

Perjalanan karier positif dipamerkan Mintah pada musim ini bukan sahaja terbukti ketika hari perlawanan, malah turut terpancar di luar padang sehingga menambat hati penyokong skuad Sang Penyu.

Antara yang mendapat perhatian tentunya keterbukaannya untuk mendalami agama Islam termasuk dengan cuba untuk berpuasa ketika bulan Ramadan tahun ini.

Malah, gayanya meraikan jaringan gol dengan meletakkan tangan seperti sedang melaungkan azan juga menyebabkan terdapat segelintir peminat menyifatkan ia memberi gambaran bahawa pemain itu mula mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam.

Di samping itu, pemain tinggi lampai beragama Kristian ini juga berusaha mendekati komuniti di Terengganu antaranya dengan bermesra bersama 10 orang anak yatim di negeri tersebut dengan membawa mereka ke pusat beli belah bagi membeli persiapan raya.

Dengan keperibadiannya yang mudah didekati itu, tidak hairanlah sekiranya dirinya menjadi antara personaliti yang disayangi dalam skuad Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram