Bukan sahaja Safuwan Baharuddin, 3 pemain import kembali ke pangkuan 'ex' kelab Liga M


  • Podium
  • Rabu, 12 Jul 2023

Safuwan sebelum ini dikaitkan kepulangan ke Selangor FC selepas meninggalkan NSFC. — Facebook/Selangor FC

DESAS-DESUS kepulangan pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharuddin ke pangkuan pasukan Selangor tenyata menarik perhatian seluruh penyokong bola sepak negara.

Pada Rabu, Negeri Sembilan FC (NSFC) sah melepaskan Safuwan selepas dia mula dikaitkan dengan beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) dan Thailand.

Pengumuman yang dibuat oleh NSFC itu ternyata memberi tamparan hebat kepada skuad kendalian K.Devan selepas mengumumkan tiada penambahan pemain bagi jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini.

Namun itu bukanlah pertama kali terjadi dalam Liga M yang mana bekas pemain import kembali ke pangkuan bekas kelab selepas meninggalkan pasukan yang pernah diwakili mereka.

Selain Safuwan yang dikhabarkan kembali ke Selangor, Majoriti senaraikan tiga pemain import yang kembali ke Liga M bersama bekas pasukan.

Diogo

Diogo ketika baru menyertai JDT pada 2019. Facebook/JDT

1. Diogo Luis Santo (JDT)

Diogo Luis Santo, pemain yang tetap konsisten walaupun baru sertai Johor Darul Takzim (JDT) semula pada awal musim ini.

Diogo menyertai JDT selepas menamatkan kontrak bersama BG Pathum United selepas tidak mendapat peluang beraksi secara konsisten.

Sebelum menyertai BG Pathum, Buriram United merupakan pasukan yang paling lama pernah diwakili Diogo sebelum berhijrah ke skuad Harimau Selatan pada 2019.

Meskipun sudah berusia 36 tahun, pengalaman dan ketenangan Diogo di hadapan gawang gol lawan masih lagi berbisa apabila dia berjaya menjaringkan tujuh gol dan empat bantuan gol dalam sembilan perlawanan Liga Super 2023.

Diogo pertama kali menyertai JDT pada 2019 sebelum meninggalkan Harimau Selatan pada 2020 dengan menyertai BG Pathum United.

Dickson Nwakaeme

Dickson dikenali sebagai 'Orang Besi' oleh penyokong Liga M. Facebook/Pahang FA

2. Dickson Nwakaeme (Sri Pahang)

Sebut sahaja 'Orang Besi', penyokong Sri Pahang FC pastinya terarah kepada seorang pemain bertubuh sasa iaitu Dickson Nwakaeme.

Mula mencipta nama bersama Kelantan FC pada 2013 selepas meninggalkan kelab Vietnam, SLNA FC, Dickson tidak menunggu lama untuk menambat hati penyokong The Red Warriros (TRW) dengan menjaringkan lima gol dalam 11 penampilan.

Musim cemerlangnya bersama Kelantan berjaya menarik minat skuad Tok Gajah untuk menandatangani pada musim 2014.

Ternyata pembelian skuad Tok Gajah itu berbaloi apabila dia berjaya menghasilkan 14 dalam 39 penampilan dalam semua kejohanan domestik dan antarabangsa.

Selepas beraksi dengan baik dengan Sri Pahang, kelab Perancis, Angers SCO tertarik untuk membawa pemain kelahiran Nigeria itu ke Liga Perancis.

Namun dia kembali semula ke Pahang pada 2019 selepas dilepaskan oleh Angers SCO dan membuat keputusan untuk bersara di pasukan yang terletak dalam Pantai Timur.

Ghaddar

Ghaddar antara penyerang import yang diingati oleh penyokong Kelantan. Facebook

3. Mohamad Ghaddar (TRW Kelantan)

Jika Sri Pahang FC mempunyai Dickson Nwakaeme, Kelantan FC pula mempunyai penyerang import berbisa dari Lubanan iaitu Mohamad Ghaddar.

Pernah beraksi bersama Felda United, Kelantan FC dan JDT dalam Liga Malaysia, kehebatan Ghaddar di hadapan gawang gol pastinya tidak akan dilupakan oleh penyokong.

Menyertai Kelantan pada 2013, Ghaddar menikmati zaman kegemilangannya bersama The Red Warriros (TRW) sehingga 2015 sebelum kembali beraksi ke Liga Lubnan.

Walaupun meninggalkan Kelantan pada 2015, Ghaddar kembali menceriakan semula penyokong TRW pada 2017 apabila menjaringkan 18 gol dalam 11 penampilan.

Namun begitu, JDT mengorak langkah menandatangi Ghaddar selepas dia mempamerkan aksi terbaik bersama Kelantan.

Bersama JDT, Ghaddar menjaringkan lima gol dalam sembilan penampilan sebelum pulang ke Kelantan buat kali yang ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram