
MUSIM lalu, Selangor FC meletakkan sandaran tinggi kepada penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion untuk mendapatkan gol dalam saingan Liga Super.
Harapan itu jelas membuahkan hasil dengan pemain berkenaan muncul sebagai penjaring terbanyak kelab setelah menjaringkan 14 gol dalam 22 penampilan.
Sumbangannya tidak terhenti di situ apabila Caion turut menggegarkan gawang Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.
Meskipun mereka tewas dengan keputusan 1-2, namanya terus dijulang penyokong skuad Gergasi Merah melihat kepada pulangan berbaloi yang diberikannya sepanjang musim.
Bagaimanapun, jumlah gol yang dihasilkannya itu gagal untuk mengekalkan tempatnya dalam Selangor FC apabila pihak pengurusan memilih untuk tidak menyambung kontraknya.
Jadi, untuk meneruskan kariernya, pemain tinggi lampai berkenaan memilih untuk menyertai seteru terdekat kelab itu, Kuala Lumpur (KL) City FC pada awal musim lalu.
Caion gagal memberikan impak seperti mana diharapkan ketika bersama KL City FC. — Facebook/Kuala Lumpur City
Kehadirannya itu cukup menggembirakan penyokong skuad Warga Kota memandangkan Caion sudah mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam liga tempatan.
Namun, perkara sebaliknya pula berlaku apabila penyerang berusia 32 tahun itu hanya menjaringkan satu gol dalam 14 penampilan Liga Super yang direkodkan.
Tetapi, episod sama berulang buat pemain terbabit apabila Caion mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan finalis Piala FA 2023 berkenaan pada awal Jun lalu.
Langkah berkenaan dibuat untuk membolehkannya menyertai kelab Vietnam, Hanoi FC yang baru sahaja menamatkan saingan liga di tangga ketiga.
Meskipun pengumuman perpindahan berkenaan dibuat hampir sebulan lalu, penyerang terbabit dilihat masih meluangkan masa di Malaysia berdasarkan foto yang dimuat naik di Instagram peribadinya.
Tangkap layar memaparkan Caion bersama isterinya meluangkan masa di pusat latihan Selangor FC.
Tidak cukup dengan itu, sebuah lagi perkongsian turut dibuat baru-baru ini yang memaparkan pemain dengan ketinggian 1.84 meter tersebut sempat meluangkan masa di tapak latihan Selangor FC.
Menerusi hantaran di InstaStory milik isteri kepada Caion, lawatan itu dibuat bagi menyelesaikan masalah yang menghalang mereka daripada berkelana ke Vietnam.
"Sebelum meninggalkan Malaysia, sempat bertemu 'King of Malaysia', Selangor.
"Terima kasih kerana sering membantu kami dan menjadi sebuah kelab yang diuruskan dengan baik. Masalah pasport sudah diselesaikan, terima kasih banyak," tulis isterinya.
Caion sebelum ini pernah berkelana di beberapa liga sekitar Asia Tenggara, termasuk Chonburi FC dan Muangkan United di Thailand.
Penghijrahannya ke Hanoi FC pasti akan meningkatkan lagi tarikan di Liga Vietnam melihat kepada jumlah pemain import yang beraksi di negara berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram