Debut cemerlang di MBPJ, tapi kad kuning antara 3 perkara jejas persembahan sulung Moses Atede


  • Podium
  • Khamis, 13 Jul 2023

Atede berpotensi menjadi tonggak tengah baharu buat skuad Sang Kenari selepas aksi cemerlang ketika berdepan PDRM FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

DUA penalti yang masing-masing disempurnakan Ifedayo Olusegun dan Lee Tuck memastikan Kedah Darul Aman (KDA) FC meraih tiga mata penuh ketika berdepan PDRM FC.

Kemenangan yang diraih di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad lalu membolehkan skuad Sang Kenari mengukuhkan tempatnya di tangga keempat Liga Super.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki ketua jurulatih, Nafuzi Zain sekiranya kelab Utara tanah air itu berhasrat untuk menamatkan musim di kedudukan lebih baik.

Perhatian semestinya diberikan kepada pemain sayap tempatan, Al-Hafiz Harun dan Fayadh Zulkifli Amin dengan masing-masing gagal memberikan impak seperti mana diharapkan.

Tidak cukup dengan itu, kualiti Ifedayo yang beraksi sepanjang 90 minit permainan turut menimbulkan perbualan hangat memandangkan ia merupakan debut buat penyerang kelahiran Nigeria itu.

358090896_311239987923852_3414434786415347936_n

Jaringan penalti daripada Ifedayo membolehkan skuad Sang Kenari mencatatkan kemenangan. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Walaupun berhasil menjaringkan gol pertamanya, bekas pemain Selangor FC dan Melaka United itu gagal memperbaiki masalah jentera serangan yang terus dihadapi skuad Hijau Kuning sepanjang musim.

Namun, seorang lagi pemain iaitu Moses Atede turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong KDA FC dengan kelibatnya terus dipertikaikan di atas padang.

Pemain tengah kelahiran Nigeria itu dilihat masih kekok untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan baharunya memandangkan ia merupakan penampilan sulungnya bersama skuad Sang Kenari.

Tetapi, perkara itu bukanlah satu-satunya yang diberi perhatian penyokong bola sepak tanah air memandangkan terdapat tiga kelemahan ketara perlu diperbaiki pemain berusia 25 tahun itu.

1. Terima kad kuning

Dalam aksi tersebut, Atede dilayangkan kad kuning pada minit ke-65 perlawanan selepas melakukan kekasaran terhadap pemain Sang Saka Biru.

Ia seolah-olah membuktikan pemain berkenaan mudah melakukan kesilapan dalam usahanya untuk merampas semula penguasaan bola daripada pihak lawan.

Perkara itu sendiri diakui Atede dengan dia mengakui bahawa dia terkejut serta teruja dengan tahap kompetetif Liga Malaysia jika hendak dibandingkan pasukan-pasukan yang pernah diwakili sebelum ini.

358045805_311155791265605_4062981749235650971_n

Atede sewajarnya diberikan masa untuk menyesuaikan diri dalam Liga Super. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Jadi, layangan kad kuning itu pasti memberi tanggapan kurang elok dalam kalangan penyokong apabila mereka cukup gusar dengan gaya permainannya.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga kemungkinan perkara sedemikian dapat berulang pada masa akan datang sekiranya KDA FC berdepan lawan lebih sukar.

Bagaimanapun, sekiranya Nafuzi serta barisan kejurulatihannya mahu menyelesaikan perkara itu, dia boleh menanam mentaliti berbeza terhadap pemain berkenaan supaya kesilapan sebegitu tidak berulang.

2. Kerap kehilangan bola

Sepanjang 90 minit berada di atas padang, Atede dilihat sedikit kekok untuk melakukan pengawalan bola sehingga merugikan rakan sepasukan.

Di samping tidak berjaya melakukan hantaran, pemain bertubuh sasa itu kerap mengambil masa terlalu lama untuk melakukan hantaran sehingga mudah dicuri pihak lawan.

Situasi tersebut jelas mengecewakan rata-rata penyokong Hijau Kuning memandangkan mereka cukup meletakkan harapan yang tinggi untuk melancarkan serangan balas.

Jadi, sekiranya Atede mahu menyelesaikan perkara itu, dia perlu didedahkan dengan minit permainan lebih kerap bagi memahami landskap bola sepak di negara ini.

Selain itu, dia juga boleh mengelakkan isu berkenaan berulang dengan memahami rentak permainan dalam Liga Super menerusi tontonan klip perlawanan sebelum ini.

Usaha tersebut pasti akan membuahkan hasil dengan dia boleh menjadi lebih yakin ketika mengawal bola, sekali gus menjadikannya tonggak baharu Sang Kenari.

3. Kurang kesesuaian

Menjadi satu kelaziman buat mana-mana pemain bola sepak untuk mengambil masa sebelum dapat menyesuaikan diri dalam suasana berbeza di kelab baharu.

Isu tersebut juga dilihat menghantui Atede sepanjang berada di atas padang dengan dia masih berdepan cabaran untuk membaca gerakan rakan sepasukan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor itu, Nafuzi memilih untuk meletakkan Atede di samping Manuel Ott dan Lee Tuck di bahagian tengah untuk mengawal gerakan permainan.

358080496_311156244598893_3703547839927148638_n

Ott dan Lee Tuck (belakang, kanan) diturunkan di samping Atede. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Namun, dengan ia merupakan debutnya bersama KDA FC, tidak boleh dinafikan bahawa keserasian masih belum tercipta walaupun dia sudah berada di padang latihan untuk beberapa hari.

Di samping itu, Atede juga disifatkan mudah dilepasi pihak lawan sehingga membolehkan mereka mencipta peluang jaringan.

Jadi, dengan masih terdapat 12 baki perlawanan Liga Super buat skuad Sang Kenari, Atede perlu bertindak segera supaya tempatnya dalam kesebelasan utama tidak tergugat dengan mudah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram