
NEGERI Sembilan FC pada Rabu mengumumkan bahawa pemain import Singapura mereka, Safuwan Baharudin akan meninggalkan kelab berkenaan.
Selepas menyertai skuad Jang pada jendela perpindahan yang lalu, keputusan berkenaan dibuat memandangkan kontraknya hanya diikat sehingga pertengahan musim.
Berdasarkan khabar angin, pemain berusia 31 tahun berkenaan mula dirisik beberapa kelab Thailand melihat kepada pengalaman yang diraih sepanjang kariernya.
Namun, dalam perkembangan baharu, terdapat pula ura-ura mengatakan sebuah pasukan Liga Super yang berpangkalan di Lembah Klang bersedia untuk mendapatkan khidmatnya.
Perkara itu berpunca daripada ciapan beberapa wartawan ternama tanah air, sekali gus mengesahkan keputusannya untuk kekal sekurang-kurangnya enam bulan lagi.
Safuwan dan skuad Jang berpisah selepas separuh musim bersama-sama. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Antara kelab yang disebut-sebut sebagai destinasi untuk pemain tengah terbabit memandangkan skuad Gergasi Merah masih kurang cemerlang dari segi pertahanan.
Menurut informasi yang diperolehi, pasukan di tangga kedua Liga Super itu sudah memiliki sembilan pemain import dengan kehadiran penyerang kelahiran Ghana, Richmond Boakye memenuhkan kuota tersebut.
Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan hanya akan ditutup pada Ogos, masih terdapat masa untuk pihak pengurusan mencari solusi terbaik demi kelangsungan kelab.
Langkah berkenaan juga seperti diterima baik rata-rata penyokong Selangor FC memandangkan Safuwan pernah menabur bakti selama hampir tiga tahun bersama pasukan berkenaan.
Tetapi, pandangan berkenaan tidak dikongsi ramai apabila seorang peminat bola sepak tanah air menerusi akaun Instagram One Football mengkritik perpindahan itu.
Hantaran yang dibuat untuk mengkritik khabar angin mengenai kepulangan Safuwan ke Selangor FC.
Dalam satu hantaran di InstaStory pada Rabu, pengguna media sosial itu memetik kata-kata pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris berkaitan kepulangan Safuwan.
"Betullah TMJ kata, duit banyak, tak guna kepala otak tak guna juga. Dapatkan dua import Asia Tenggara dalam satu pasukan dengan kedua-dua negara berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia," tulisnya.
Berdasarkan ranking FIFA yang dikemas kini, Singapura dan Myanmar berada di kedudukan lebih rendah berbanding skuad Harimau Malaya, sekali gus menceritakan mengenai pemain yang dimiliki mereka.
Ketika ini, kuota pemain Asia Tenggara di Selangor FC diisi pemain sayap muda kelahiran Myanmar, Hein Htet Aung yang sudah bersama-sama kelab berkenaan sejak 2021.
Namun, musim ini, khidmatnya kurang ditagih ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang lebih berminat untuk meletakkan Mukhairi Ajmal di posisi sayap kanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram