Bukan Thailand, Safuwan Baharudin bakal kembali ke pangkuan kelab lama


  • Podium
  • Rabu, 12 Jul 2023

Antara pasukan yang pernah disertai Safuwan sepanjang beraksi dalam Liga Malaysia.

NEGERI Sembilan FC (NSFC) sah melepaskan pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin selepas dia mula dikaitkan dengan beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) dan Thailand.

Keputusan mengejut itu nyata memberikan reaksi pelbagai pihak kerana Safuwan merupakan antara pemain yang menjadi taruhan K. Devan setiap kali Negeri Sembilan turun beraksi.

Menerusi ciapan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di Twitter pada Rabu, Safuwan lebih memilih untuk kekal beraksi di Liga Malaysia (Liga M) meskipun terdapat minat dari kelab Thailand.

"Safuwan Baharudin sah tinggalkan Negeri Sembilan, difahamkan memilih untuk kekal beraksi di Liga Malaysia dengan bakal menyertai pasukan dari Lembah Klang atau Utara tanah air," ciapnya.

Safuwan sah meninggalkan NSFC selepas beraksi cemerlang musim ini. Facebook/NSFC

Manakala, menurut wartawan The Star, T. Avineshwaran mededahkan Selangor sedang mengintai untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 31 tahun itu.

"Safuwan tinggalkan Negeri Sembilan, dikhabarkan dua kelab Thailand dan Malaysia berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Kelab Malaysia yang dikaitkan dengan Safuwan ialah Selangor FC," ujarnya di Twitter.

Safuwan melakukan 12 penampilan bersama NSFC musim ini dan penampilan terakhirnya bersama pasukan itu ialah sebagai pemain gantian ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 8 Julai lalu.

Pengumuman yang dibuat oleh NSFC itu ternyata memberi tamparan hebat kepada skuad kendalian K. Devan selepas mengumumkan tiada penambahan pemain bagi jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini.

Jika tiada sebarang perubahan perancangan yang dilakukan oleh pihak pengurusan The Jangs, NSFC akan kekal dengan tiga pemain import iaitu Herold Goulon, Levy Madinda dan Casagrande sehingga tamat musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram