'Syafiq Ahmad out', giliran anak jati Sarawak rebut tempat peledak di skuad senior JDT


  • Podium
  • Rabu, 12 Jul 2023

Prestasi Syafiq Ahmad yang semakin menurun menyebabkan penyokong berasakan dia tidak layak bersama skuad utama Harimau Selatan. — Facebook/JohorSouthernTigers

DALAM kerancakan saingan Liga Super 2023 yang bakal memasuki jendela kedua, ada beberapa pemain penting yang sebelum ini menjadi tunjang utama pasukan dilihat semakin suram dari kaca mata penyokong.

Hal ini kerana mereka tidak menunjukkan prestasi yang sebenar ataupun jarang diturunkan dalam perlawanan penting.

Salah seorang daripada pemain tersebut ialah pemain Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad kerana kurang berjaya mendapatkan kepercayan jurulatih, Estaban Solari pada ketika ini.

Walaupun dia pernah menjadi rebutan antara JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) namun prestasinya yang semakin menurun menyebabkan penyokong berasakan dia tidak lagi mampu memberi saingan sengit dalam skuad utama Harimau Selatan.

Jika melihat kepada statistik musim ini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu hanya diturunkan sebanyak tiga kali dalam Liga Super dengan kesemuanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.

Sehubungan itu, ada dalam segelintir penyokong kelab yang berpangkalan di Harimau Selatan mengharapkan Syafiq diturunkan sahaja ke JDT II dan tempatnya itu digantikan dengan seorang ubi muda, Gabriel Nistelrooy Tamin.

Gabriel Nistelrooy Tamin menunjukkan aksi yang cemerlang di JDT ll. — Instagram/ GabrielNistelrooy

Gabriel Nistelrooy Tamin menunjukkan aksi yang cemerlang di JDT ll. — Instagram/ GabrielNistelrooy

Hal ini kerana, pemain dari Miri Sarawak ini semakin menempa nama dalam industri bola sepak tanah air seperti dua lagi rakannya yang lebih dulu mendapat tempat di skuad senior iaitu Feroz Baharudin yang bermain secara regular dan Adam Farhan (sesekali diturunkan).

Dalam dua perlawanan Piala MFL baru-baru ini, pemain yang diberi jolokan nama 'Apai Sarawak' itu sudah menjaringkan tujuh gol sekali gus meletakkannya penjaring terbanyak dalam pertandingan itu di samping penyerang Kedah, Ebenezer Assifuah.

Untuk rekod, Gabriel Nistelrooy mula menyertai JDT IV pada 2019 selepas berjaya memikat ketua jurulatih, Gonzalo Sanz Zaballos.

Sebelum dinaikkan pangkat ke JDT II bagi menggantikan tempat Hadi Fayyadh yang berkelana ke Jepun, prestasinya bersama JDT IV amat memberangsangkan apabila muncul sebagai antara penjaring terbanyak buat pasukan muda Harimau Selatan itu.

Bukan itu saja, dia turut membuktikan dia layak berada di JDT II dengan berhasil mencetak dua gol di Liga Perdana walaupun hanya tujuh kali diturunkan pada 2021.

Gabriel Nistelrooy yang namanya seakan-akan legenda bola sepak Belanda, Ruud van Nistelrooy turut berjaya mencetak tiga gol peribadi dalam saingan Liga Perdana sepanjang musim lalu.

Hal itu menyebabkan penyokong sudah mula membandingkan kecemerlangan Gabriel Nistelrooy dengan Syafiq yang ketika ini dilihat hambar bersama pasukan skuad utama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram