KEDAH Darul Aman (KDA) FC berhasil melunaskan misi balas dendam ke atas PDRM FC apabila apabila melakar kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.
Sebelum ini, skuad Sang Kenari terpaksa berputih mata apabila gagal meraih tiga mata penuh dalam pertembungan pertama menentang The Cops yang mana menyaksikan pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu tewas 1-0 di laman sendiri.
Pada perhitungan kedua di gelanggang tuan rumah itu, skuad di bawah kendalian Nafuzi Zain tersebut menang hasil sepakan penalti yang disempurnakan penyerang baharu, Ifedayo Olusegun pada minit ke-81 dan Lee Tuck pada minit ke-89.
Insiden bola terkena tangan pada pertahanan kental Sang Saka Biru memberi peluang kepada pemenang Kasut Emas Liga Super 2020 dan 2021 itu melakukan gol debutnya sebagai import baharu Kedah yang tiba pada jendela perpindahan Julai kali ini.
Mengulas mengenai sepakan penaltinya itu, Ifedayo berasakan bahawa rekod cemerlangnya bersama kelab-kelab sebelum ini menyebabkan jurulatih, Nafuzi Zain dan rakan sepasukannya memberinya kepercayaan untuk mengambil peluang tersebut.
'Saya rasa mereka tahu saya. The guys know me. Bila saya di Selangor, memang saya penalti taker. Di Melaka pun sama. Saya jaring banyak gol jadi mereka yakin untuk suruh saya ambil. Lee Tuck personally suruh saya ambil penalti. Jurulatih juga suruh saya ambil.
"Saya gembira dan bersyukur kerana kami dapat 3 mata. saya syukur dapat sumbang satu gol untuk Kedah dan gembira dapat memberi sesuatu kepada penyokong yang turun hadir," katanya kepada Majoriti.
Semasa dua musim bersama Selangor FC pasti, penyerang berusia 32 tahun itu menjadi salah seorang penyerang import terbaik pernah disaksikan dengan hanya memerlukan 43 penampilan untuk menjaringkan 50 gol dalam kesemua kejohanan.
Dalam pada itu, pemain yang mempunyai kerakyatan Bahrain itu turut mengakui masih dalam proses untuk memahami corak permainan Nafuzi, selain cuba untuk membina keserasian bersama rakan sepasukan lain.
"Untuk Nafuzi dia memang suka main jenis keep the ball. Ia bukan jenis permainan yang saya selalu main. Ia sesuatu yang saya perlu sabar dan cuba fahamkan cara permainan mereka dan bina keserasian pemain lain.
"Latihan tak cukup untuk mengenali cara permainan kawan-kawan lain. Ketika perlawanan semua akan tampil dengan permainan berbeza. Kami akan cuba dapatkan keserasian untuk cuba beri persembahan terbaik," jelasnya.
Pada Jumaat ini, Ifedayo akan tampil dalam perlawanan pertama di bumi Darul Aman dengan pertembungan menentang Kelantan United FC (KUFC) akan menjadi ujian kedua buatnya dalam saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram