SELEPAS pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memberi petunjuk akan membwa masuk dua lagi pemain tempatan, penyokong Sang Kenari jadi tidak senang duduk menantikan pengumuman tersebut.
Pemegang saham terbesar KDA FC itu pada Jun lalu berkongsi bahawa pihak pengurusan Hijau Kuning akan cuba untuk membawa masuk dua pemain lokal bagi memperkukuhkan lagi jentera serangan pasukan berpangkalan di Utara tanah air tersebut.
Tidak cukup dengan perkongsian dari Daud Bakar, penyokong Kedah semakin tidak sabar menanti ketibaan pemain baharu tersebut selepas wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhami menyatakan bahawa tonggak terkenal tanah air akan menyarung jersi KDA FC dalam masa terdekat.
“Untuk Kedah, akan ada lagi satu perpindahan pemain tempatan. Ini yang saya tahulah. Big name yang saya boleh beritahu. Seandainya jadi, ada persetujuan dua kelab.
“Saya merasakan bahawa taktikal jurulatih Nafuzi (Nafuzi Zain) akan berubah terutamanya di bahagian belakang. Mungkin akan bermain back three," katanya.
Perkongsian Fadhirul bersama laman penyokong, Sang Kenari di laman YouTube itu membuatkan beberapa nama pemain pertahanan seperi Khuzaimi Piee, Adam Nor Azlin dan mula dikaitkan akan menyertai skuad kendalian Nafuzi Zain pada jendela perpindahan kedua ini.
Nama pertahanan kental Selangor FC, Khuzaimi merupakan antara pemain yang paling diharap akan menyertai Kedah terutamanya selepas khabar angin mengatakan bekas tonggak Negeri Sembilan itu akan meninggalkan Gergasi Merah.
Difahamkan faktor kurang minit permainan dan disebabkan hanya tampil dalam tujuh perlawanan Liga Super, Khuzaimi dikatakan akan menjadi pemain pinjaman dari Gergasi Merah pada pusingan kedua ini.
Walaupun pada awalnya, pemain berusia 29 tahun itu dikatakan akan menyertai Penang FC namun selagi tiada kenyataan rasmi, Kedah masih berpeluang untuk membawa masuk pemain tersebut.
Persaingan sengit dari barisan pemain JDT membuatkan Adam bergelut untuk mendapatkan tempat. — Facebook/JDT
Selain Khuzaimi, pemain berpengalaman Johor Darul Takzim (JDT), Adam Nor Azlin yang sebelum ini dikaitkan dengan Perak FC juga antara pilihan tepat untuk dibawa masuk ke Kedah pada jendela kedua ini.
Pemain berusia 27 tahun yang kini banyak beraksi bersama pasukan simpanan bagi saingan Piala MFL itu sesuai ke Darul Aman sebagai destinasi baharunya mengembalikan semula potensinya.
Calon terakhir berkemungkinan akan menjadi pertahanan Kedah pada pusingan kedua liga ialah bekas pemain, Rizal Ghazali yang kini beraksi bersama Sabah FC.
Sejak Rizal terpalit dengan dakwaan pukul bekas teman wanita itu, penyokong Hijau Kuning masih terbuka untuk menerima anak jati Kedah jika The Rhinos memutuskan untuk menyingkirkan pemain berusia 30 tahun tersebut.
Terdahulu, skuad Hijau Kuning sudah mengikat dua pemain import iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede sempena jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dan kedua-duanya pun sudah debut bersama Kedah sewaktu aksi menang 2-0 ke atas PDRM FC pada Ahad.
Perlawanan tersebut juga menyaksikan Ifedayo mencetak jaringan sulungnya buat Kedah selepas menyempurnak sepakan penalti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram