Umpama bintang Real Madrid, scouting Eropah dedah 2 kelemahan Arif Aiman


  • Podium
  • Isnin, 10 Jul 2023

Corak permainan Arif Aiman disamakan dengan Rodrygo.

NAMA Pemain Paling Bernilai (MVP) 2022, Arif Aiman Hanapi sekali lagi mendapat perhatian pencari bakat (scout) dari Eropah.

Sebelum ini, laman Twitter We Are Scouting dan R.D Football Scout memuji skil dan kelebihan yang dimiliki Arif Aiman semasa beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.

Prestasi pemain sayap lincah Harimau Selatan itu bersama Johor Darul Takzim (JDT) dalam pertandingan bertaraf antarabangsa antara yang mendapat perhatian scouting bebas berpangkalan di Eropah.

Arif Aiman dipercayai sememangnya sudah berada dalam radar sekurang-kurangnya 15 pemerhati bakat yang berpangkalan di Sepanyol selain dikaitkan dengan kelab liga Jepun.

Arif Aiman

Tangkap layar dari EK Scouting berkenaan Arif Aiman.

Terbaharu, menerusi satu ciapan twitter dari EK Scouting, Arif Aiman diberikan markah 8.3/10 oleh pemantau bakat tersebut.

Kemampuan Arif juga disamakan dengan salah seorang bintang muda Real Madrid, Rodrygo Silva de Goes.

Antaranya kemampuan yang dikesan oleh EK Scouting ialah Arif Aiman mampu menggelecek dengan baik walaupun dalam ruang yang sempit.

Pemain berusia 21 tahun itu gemar terlibat dalam banyak gerakan serangan skuad kendalian Esteban Solari.

EK Scouting turut menyenaraikan lapan kekuatan ada pada Arif Aiman iaitu kekuatan, ketenangan memegang bola, teknik, hantaran berbahaya, visi, pantas semasa mengawal bola, skil individu dan kaki lemah (kiri) yang kuat.

Namun begitu, EK Scouting juga dapat mengesan kelemahan yang Arif Aiman hadapi.

Arif dikatakan cenderung mahu memilih jalan sukar untuk melepasi halangan satu lawan satu sedangkan dia mampu melepaskan bola secepat mungkin kepada rakan sepasukan.

Musim ini dalam Liga Super, Arif berjaya menjaringkan enam gol serta 10 assists dalam 16 penampilan serta disenaraikan sebagai kesebelasan utama Harimau Selatan dalam kesemua perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram