PERJALANAN bola sepak negara telah melalui pelbagai peristiwa pahit manis sehingga pernah dimalukan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dengan keputusan 0-10 di Abu Dhabi, UAE.
Kekalahan terbesar Malaysia ke atas UAE itu memaksa, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terpaksa meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Baginda mengambil jawatan tersebut daripada ayahanda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah selepas memegang jawatan itu selama 30 tahun pada 2014.
Baginda ketika itu bertitah memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan memalukan skuad negara 0-10 kepada UAE.
Sebelum meletakkan jawatan, Baginda sudahpun memberi bayangan untuk memikul tanggungjawab itu selepas berdepan kritikan seandainya gagal melayakkan diri ke Piala Asia 2019.
Kesebelasan utama Malaysia ketika tewas 0-10 kepada UAE. — Facebook
Hasrat Baginda itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada 12 Julai 2015.
“Tuanku Presiden FAM (Tengku Abdullah) ada menyuarakan rasa kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaya.
“Kemungkinan besar Baginda bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden jika pasukan kebangsaan gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019,” jelas Hamidin.
Tengku Abdullah dilantik menjadi Presiden FAM selepas memenangi kerusi nombor satu itu dalam pemilihan Kongres FAM ke-50 pada Mei 2014 setelah ayahandanya, Sultan Ahmad Shah menarik diri.
Ketika itu, Baginda menewaskan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dengan keputusan 27-12 menerusi pengundian pusingan kedua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram