MASALAH dalaman yang timbul dalam pasukan Kelantan FC menyebabkan ramai pemain membuat keputusan untuk meninggalkan kelab itu dengan sebahagian menamatkan kontrak lebih awal bersama pasukan dari Pantai Timur itu.
Bukan itu sahaja, kepercayaan penyokong Kelantan terhadap pemilik kelab, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham juga semakin pudar susulan masalah dalaman yang menyelubungi pasukan berkenaan sejak pemecatan bekas jurulatih, Choi Moon-sik sehingga ke isu gaji.
Umum mengetahui penyakit bola sepak yang sukar dipulihkan daripada dahulu ialah sikap boros pihak pengurusan membelanjakan wang sehingga berlakunya tunggakan gaji.
Dalam kemelut masalah yang dialami oleh Kelantan FC, penyokong pastinya berbangga apabila pemain-pemain muda masih mampu menyinar meskipun tidak dibayar gaji.
Prestasi tiga pemain muda ini mendapat perhatian beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) apabila khabar angin mengatakan salah sebuah pasukan dari Utara tanah air dan Pantai Timur berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.
Majoriti senaraikan tiga pemain muda Kelantan yang sedang meningkat naik meskipun mengalami masalah gaji:
Muhaimin mengakui pernah menerima tiga tawaran daripada kelab selain Kelantan FC pada musim lalu. — Facebook/ KelantanFC
1. Muhaimin Izuddin Asri
Sejak tahun lalu, nama pemain sayap kiri Kelantan FC, Muhaimin Izuddin Asri dikatakan menjadi antara nama yang menjadi buruan kelab-kelab elit Liga Super yang memantau rapat bakatnya.
Musim ini pemain muda berusia 21 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain dalam Liga Malaysia (Liga M), termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Pemain tengah itu dirasakan sesuai berkelana ke skuad Sang Kenari untuk menimba pengalaman di bawah bimbingan Nafuzi Zain sebagai antara jurulatih terbaik dalam negara.
Muhaimin dikatakan boleh mengambil posisi Lee Tuck atau Manuel Ott di yang ketika ini dilihat masih bergelut mencari rentak terbaik.
Fazrul Amir merekodkan dua gol dan satu hantaran bantuan untuk TRW dalam 13 perlawanan Liga Super. — Instagram/FazrulAmir
2. Fazrul Amir Zaman
Nama tonggak Kelantan FC, Fazrul Amir Zaman bukanlah seorang pemain yang mempunyai resume kukuh seperti penyerang sayap tanah air namun musim ini persembahannya menarik perhatian beberapa kelab gergasi Liga Super.
Antara yang dikhabarkan berebut mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC dengan pengendali, Fandi Ahmad sendiri mengaku meminati Fazrul Amir untuk dibawa masuk ke Tok Gajah pada jendela perpindahan kedua ini.
Pemain muda itu antara yang memberikan sumbangan besar buat TRW dengan merekodkan dua gol dan satu assist dalam 13 perlawanan Liga Super.
Harith Akif menjaringkan dua gol untuk Kelantan FC ketika bertembung dengan skuad Harimau Kumbang baru-baru ini. — Facebook/MFL
3. Harith Akif
Penyerang prospek ini mula mendapat perhatian ketika perlawanan menentang Penang FC baru-baru ini.
Harith Akif hampir menjaringkan hatrik selepas meledak dua gol sekali gus membawa perubahan permainan berbeza terutama di posisi serangan Kelantan FC.
Penyokong Kelantan turut berasakan bahawa corak permainan pemain yang turut beraksi di saingan Piala MFL itu lebih baik daripada bekas penyerang import TRW iaitu Nuha Marong dan Ismahil Akinade.
Harith yang baru tampil dua kali sebagai kesebelasan utama untuk Kelantan namun sudah memberikan tanggapan dan kesan yang mendalam kepada kem TRW serta penyokongnya.
Oleh itu, tidak salah untuk mengatakan Harith adalah penyembuh luka penyokong yang sedih dengan pemergian dua penyerang import tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram