JURULATIH pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, optimis Muhammad Azeem Fahmi mampu membawa pulang pingat dalam acara larian 100 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand pada Rabu.
Poad turut berasakan acara kuartet 4x100m lelaki dan wanita juga akan menunjukkan peningkatan menjelang kejohanan tersebut.
Menurut Poad, melihat perkembangan Azeem yang menyertai kem latihan skuad pecut kebangsaan selama dua minggu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, dia menunjukkan perkembangan yang positif untuk meraih sebarang pingat.
Azeem akan menyertai acara larian 100m bersama bekas juara Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan yang mana Poad menjangkakan mereka akan beraksi dalam pusingan akhir untuk merebut pingat.
Azeem sudahpun memecahkan rekod kebangsaan 24 tahun milik Watson Nyambek.
Jika Azeem berjaya menaiki podium, dia akan menjadi satu-satunya pelari pecut negara selain Watson Nyambek memperoleh pingat perak di Fukuoka, Jepun pada 1998 dalam kejohanan itu.
"Azeem beraksi baik dalam kem latihan dan mencatatkan masa yang sangat pantas. Kami berharap dia boleh memenangi pingat.
"Dia mengikuti program yang diberikan oleh jurulatihnya, Ken Harnden yang akan berada di Bangkok untuk membantunya mengharungi kejohanan itu.
"Saya berharap dia boleh layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris dengan mencatatkan masa di bawah 10 saat (s).
"Berdasarkan prestasi musim ini, Khairul turut mencatatkan masa terbaik iaitu 10.36s di Australia sebelum ke Sukan SEA pada Mei lalu," kata Poad.
Menjelang kejohanan itu, Azeem akan beraksi dalam acara 100 meter (m) dan 4x100m bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Muhammad Thaqif Hisham.
“Kehadiran Azeem sudah tentu memberi banyak impak kepada rakan-rakan lain dan mereka banyak belajar mengenai teknik larian Azeem. Perkembangan pelari yang lain juga agak baik terutama Thaqif.
“Melalui dua fasa latihan di UPSI, kita juga sudah menjalani latihan lari berganti-ganti dan ada perkembangan yang menarik, malah Thaqif yang menggantikan Haiqal Hanafi kerana mengalami kecederaan juga nampak serasi dengan kuartet ini,” jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram