Tumpul di bahagian sayap, Harimau Kumbang risik bantuan bintang Argentina


  • Podium
  • Isnin, 03 Jul 2023

Penang FC memerlukan pemain sayap baharu bagi membantu pasukannya mendaki ke tempat lebih baik dalam Liga Super 2023. —Facebook/ Penang FC

SELEPAS mengalami beberapa siri kekalahan, Penang FC antara pasukan yang dilihat semakin sukar untuk bersaing dalam baki saingan aksi Liga Super.

Penutup pusingan pertama liga tersebut turut menyaksikan prestasi kurang memberangsangkan skuad Harimau Kumbang yang mencetak tiga kekalahan berturut-turut dalam tiga aksi terakhirnya masing-masing ketika menentang Johor Darul Takzim (0-2), Terengganu FC (0-1), dan Sri Pahang FC (0-1).

Tidak cukup dengan itu, aksi longlai yang dipamerkan anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid ketika menentang Negeri Sembilan FC pada 26 Jun lalu ibarat seperti menambah garam di luka hati penyokong.

Bukan apa, persembahan skuad the Black Panthers ketika Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan itu hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 selepas pemain pertahanan skuad Hobin Jang Hobin menjaringkan gol pada minit-minit terakhir.

Melihat kepada prestasi tersebut, ada dalam kalangan penyokong berharap pihak pengurusan pasukan Pulau Mutiara itu mengambil langkah drastik dan membuat percaturan semula barisan pemain terutamanya dalam memperkukuhkan jentera pertahanan dan serangan.

Antara pemain yang diperkatakan boleh menguatkan kembali pasukan tersebut ialah pemain Argentina, Cristian Espinoza selepas dia dikaitkan ke Liga Malaysia.

WhatsApp Image 2023-07-03 at 1.19.08 AM

Selain mencatatkan rekod permainan yang baik, Espinoza turut kekal cergas untuk bermain dalam kesebelasan utama sepanjang 21 permainan MLF. — Instagram/ @crisespinoza11

Sebelum ini, khabar angin tentang pencarian pengganti import sayap kiri mereka, Curt Dizon dengan seorang bintang import berstatus ejen bebas untuk mengisi kekosongan tersebut iaitu Dechi Marcel untuk bermain dalam skuad mereka bertiup kencang.

Namun kini, difahamkan proses rundingan untuk membawa masuk Espinoza yang beraksi dengan kelab bola sepak Amerika, San Jose Earthquakes pula dikhabarkan sedang berjalan lancar.

Untuk rekod, pemain berusia 28 tahun itu berjaya membuatkan sembilan gol dan empat assist sepanjang 21 perlawanan bersama kelab yang berpangkalan di California itu.

Bukan itu sahaja, pemain sayap berketinggian 1.73 meter itu dilihat mempunyai kecergasan yang padu untuk kekal bermain dalam kesebelasan utama dalam sepanjang 90 minit perlawanan dalam Major League Soccer (MLF).

Ketika ini, tanggungjawab serangan sayap skuad Harimau Kumbang dipikul beberapa pemain seperti Rahmat Makasuf, Hadin Azman dan Adib Raop.

Bagaimanapun, ketumpulan di barisan tersebut cukup mengecewakan penyokong kelab Utara tanah air itu memandangkan mereka terus bergelut untuk menjaringkan gol.

Memiliki kelebihan sebagai pemain tengah, Espinoza juga boleh bertindak sebagai 'playmaker' dalam pasukan.

Mungkin kehadiran Espinoza dilihat boleh menyelesaikan perkara tersebut sekiranya pihak pengurusan Penang FC mampu menyuntik bajet yang mencukupi memasuki jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram