Pernah dikaitkan ke Penang FC, Al-Hafiz akhirnya dedah masa depan di Stadium Darul Aman


  • Podium
  • Isnin, 10 Jul 2023

Pemain lincah KDA FC, Al Hafiz Harun. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA FC) mengutip tiga mata penuh selepas berakhir perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.

Kemenangan yang diperolehi pada penghujung perlawanan membuatkan para penyokong yang turut hadir berpuas hati dengan keputusan 2-0 itu.

Bagaimanapun, salah seorang pemain KDA FC, Al-Hafiz Harun mendapat perhatian penyokong tanah air selepas diberi kepercayaan oleh pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain untuk menjadi kesebelasan utama.

Sebelum ini, pemain berusia 29 tahun itu hanya berada dalam bangku simpanan sepanjang enam perlawanan tidak beraksi di atas padang.

hafiz harun

Al-Hafiz Harun beraksi bersama Hijau Kuning. — Facebook/KDAFC

Pemain kelahiran Kedah itu difahamkan tidak beraksi selama enam perlawanan dan kali terakhir bermain ketika menentang Perak FC pada 25 Februari lalu.

"Pertama kali, Syukur Alhamdullilah kerana diberi peluang oleh coach Nafuzi untuk beraksi semula dalam kesebelasan utama.

"Walaupun empat atau lima game saya tak bermain yang penting kita dapat tiga mata penuh," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, Al-Hafiz juga meluahkan rasa kecewa apabila tidak mampu menyempurnakan sepakan walaupun mempunyai peluang untuk mencetak gol.

"Terkesan juga sebab selalunya peluang seperti itu tidak akan datang dua tiga kali, frust juga lah, patutnya ada peluang untuk saya skor tapi unlucky untuk saya," kongsinya.

Selain itu, dia juga menjelaskan mengenai khabar angin pernah menjadi bualan hangat penyokong bola sepak tanah air apabila dikaitkan bakal perpindah ke Penang FC, sekali gus menyarung jersi no.19 bersama Blackpanthers bagi mengharungi baki saingan Liga Super selepas ini.

"Setakat ini, tiada perancangan untuk bersama Penang FC, mungkin sebab lama tak main, timbul khabar angin yang tidak betul.

"Insya-ALLAH saya fokus bersama Kedah, saya pun ikut plan dan taktikal jurulatih.

"Walaupun saya tidak bermain di posisi sayap kiri, tapi saya akan buat yang terbaik untuk diri sendiri dan team," jelasnya.

KDA FC kini menghuni tangga keempat carta Liga Super dengan mengutip 31 mata selepas 16 perlawanan berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram