Pemain terbaik Uzbek sah sertai Sang Penyu, fans desak tendang terus bintang import 'kayu'


  • Podium
  • Isnin, 10 Jul 2023

Nurillo menandatangani kontrak bersama Terengganu sehingga Disember 2024. — Facebook/TFC

PIHAK pengurusan Terengganu FC (TFC) mengumumkan ketibaan bintang import baharu, Nurillo Tukhtasinov yang mana dia juga merupakan pemain kebangsaan Uzbekistan pada Isnin.

Pemain tengah berusia 26 tahun itu mengikat kontrak dengan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner selama 18 bulan bagi mengisi kuota pemain import bebas skuad Penyu itu.

Pemain yang pernah dinobatkan sebagai 'arkitek' terbaik dalam liga di negaranya itu berpengalaman luas bersama skuad kebangsaan bermula dengan skuad Bawah 19 Tahun (B-19), B-21, B-23 dan skuad senior.

Menurut kenyataan TFC, kehadiran bekas pemain kelab Neftchi Fergana dalam Liga Divisyen 1 Uzbekistan itu bagi menambah lagi kekuatan di jentera tengah pasukan yang sebelum ini dilihat agak longgar.

359147292_257914950283280_235452173615805995_n

Nurillo bakal menyarung jersi nombor 97 di Terengganu. Facebook/TFC

"Pemain kebangsaan Uzbekistan itu (Tukhtasinov) bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama TFC selama 18 bulan sehingga akhir tahun depan.

"Pemain yang baharu pertama kali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) itu bakal mengisi kuota pemain import bebas TFC.

"Kita harapkan kehadiran pemain tengah itu mampu memberikan impak yang besar dan positif buat pasukan dalam mengharungi baki saingan Liga Super, Piala Malaysia selain aksi Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) bulan depan.

"Kita juga berharap pemain yang bakal menyarung jersi bernombor 97 itu sempena tahun kelahirannya pada 1997 dapat menyesuaikan diri bersama rakan sepasukannya dengan cepat terutama berdepan PDRM FC minggu depan," katanya.

Pemain berketinggian 2.72 meter itu dijangka bergandingan dengan pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon selepas posisi itu sebelum ini dilihat gagal berfungsi dengan baik.

Begitupun, kehadiran Tukhtasinov dijangka mengundang persoalan tentang kedudukan salah seorang pemain import Terengganu FC.

Ini kerana skuad Peteh mempunyai sembilan orang pemain import ketika ini. Justeru, salah seorang daripadanya perlu digugurkan bagi memberi laluan kepada pendaftaran Tukhtasinov.

Di media sosial, rata-rata penyokong Terengganu mahu pihak pengurusan menamatkan kontrak Ivan Mamut kerana aksi yang tidak konsisten yang dipamerkan pemain kelahiran Croatia itu.

"Pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan? Mesti power, tolong bagi dia main tengah. Ivan Mamut itu tukar sahaja dengan Nurillo, penyudah tumpul harap tinggi sahaja," kata Penyu Nelang.

"Ivan Mamut kena tukar cari penyerang yang elok sikit," ujar Achmad Luqman.

"Nampaknya posisi tengah dah complete, masalah utama Terengganu ialah penyerang yang selalu pakai Ivan Mamut. Harap Norillo ganti Mamut jangan simpan sebab tak selesai masalah," jelas Nazmi Suhardi.

Sejak menyarung jersi TFC musim ini, Ivan Mamut masih gagal memikat hati penyokong Sang Penyu gara-gara prestasi tak konsisten atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram